Untitled Document
   
Carian
Kuala Terengganu
 
Untitled Document
 
Laman Web Rasmi KDYMM Sultan Terengganu

HADITH HARI INI

Dari Jabir r.a katanya, dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:”Siapa yang tidak mempunyai sifat ramah tamah, bererti dia tidak mempunyai kebaikan.

 

UNDIAN

Pendapat anda tentang portal terkini Istana Terengganu?

Sangat Menarik :
Menarik:
Perlu Dibaiki:
Tiada Komen:
 

KALENDAR

 

PROMOSI WEB

 

 

 

 

 

ISTIADAT MELANTIK KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SULTAN DAN PEMAKAMAN

Apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan telah mangkat atau telah diturunkan daripada Takhta Kerajaan Negeri ataupun menarik diri daripada Takhta Kerajaan Negeri,maka Yang DiPertua Dewan Pangkuan DiRaja atau Timbalannya Yang Pertama jika ketiadaan Yang DiPertua atau Timbalan Yang Pertama,Timbalan Yang Keduanya akan memanggil Mesyuarat Dewan Pangkuan DiRaja.

Mangkat Seorang Sultan

  1. Apabila seorang Sultan telah mangkat, Yang DiPertua Dewan Pangkuan
    DiRaja hendaklah memanggil Mesyuarat Dewan Pangkuan DiRaja dengan
    serta merta untuk menimbang serta memilih dan menetapkan waris ganti
    Sultan menurut Fasal 6(1) Undang-undang Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu Bab Yang Ke-Dua (2).

  2. Setelah pilihan telah dibuat dan ditetapkan, Yang DiPertua Dewan Pangkuan DiRaja hendaklah menyampaikan keputusan itu kepada Menteri Besar bagi negeri Terengganu Darul Iman.

  3. Yang DiPertua Dewan Pangkuan DiRaja,Ketua Istiadat dan Menteri Besar atau dengan ketiadaannya Setiausaha Kerajaan mempersembahkan ketetapan pilihan itu kepada Waris Ganti Sultan yang dipilih itu.

  4. Waris Ganti Sultan menitahkan Ketua Istiadat untuk menyediakan Majlis Pemashyuran Perlantikan Ganti dan Istiadat Pemakaman.

  5. Yang Dipertua Dewan Pangkuan DiRaja hendaklah dengan serta merta mengisytiharkan perlantikan Sultan yang baru menurut Peraturan 6 di bawah ini.

Mengisytiharkan Kemangkatan.

  1. Menteri Besar atau dengan ketiadaannya Setiausaha Kerajaan dengan serta merta memaklumkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja di atas kemangkatan itu untuk perjalanan yang selanjutnya.
  2. Menteri Besar mengarahkan Setiausaha Kerajaan sebagaimana berikut:-
    1. Mengisytiharkan serta merta kepada sekalian Rakyat Negeri atas Kemangkatan itu.
    2. Mengarahkan supaya ditembak Meriam sebanyak dua puluh satu (21) das dengan jarak 1 minit tiap-tiap satu das menandakan kemangkatan Sultan.
      1. Tembakan hendaklah dibuat dengan seberapa cepat yang mungkin selepas pengumuman.
      2. Jika pengumuman dibuat selepas pukul 12.00 tengah malam, tembakan dibuat pada waktu fajar menyinsing (first light) keesokan harinya.
    3. Dinaikkan bendera-bendera negeri separuh tiang hingga akhir hari perkabongan yang ditetapkan.
    4. Mengarahkan supaya semua Pejabat-Pejabat Kerajaan ditutup pada hari kemangkatan.
    5. Mengisytiharkan Hari Kelepasan Am pada Hari Pemakaman.
    6. Mengarahkan tempat-tempat hiburan ditutup selama masa yang ditetapkan.

3 Perkabungan

      Selepas perlantikan Sultan yang baru ditetapkan sekalian Kerabat DiRaja,Orang-Orang Besar,Pegawai-Pegawai Kerajaan dan lain-lain berkabung selama seratus (100) atau empat puluh (40) hari menurut Titah Sultan yang baru. Tempoh masa perkabungan itu akan diumumkan oleh Ketua Istiadat kemudian.(Berkabung itu ialah memakai Kain Putih lebarnya kira-kira satu (1) inci yang dililit kepada songkok atau kepada Tanjak yang dipakai di kepala melainkan Haji-Haji yang memakai serban).

 

 4.  Peraturan pakaian pada Hari Pemasyuran Perlantikan Ganti Sultan dan
      Pemakaman.

  1. Kerabat-Kerabat Raja Yang Akrab
  2. Lelaki : Berbaju Melayu Serba Putih Bersongkok dan berkabung. Perempuan : Berbaju Kurung dan Bertudung serba putih.

  3. (ii) Kerabat-Kerabat Raja yang lain daripada (i),Ahli-Ahli Dewan Pangkuan Diraja,Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan,Orang-Orang Besar ,Ahli- Ahli Dewan Negeri , Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan berpakaian baju Melayu Hitam Bersongkok dan berkabung.
  4. Orang-Orang Melayu Lelaki Bersongkok dan berkabung.
  5. Isteri-Isteri Kerabat Raja yang lain daripada (i),Ahli Dewan Pangkuan DiRaja,Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan,Orang Besar, Ahli Dewan Negeri, Pegawai Kanan Kerajaan berpakaian baju Kurung Hitam Bertudung Putih.
  6. Perempuan-Perempuan Melayu Berbaju Kurung atau Kebaya dan
    bertudung.

5.         Penghormatan Terakhir.

Setelah Jenazah Al Marhum disembahyangkan, maka Jenazah Al Marhum akan
dibawa oleh Kerabat-Kerabat Raja dipandu oleh Ketua Istiadat ke Majlis
Perbalaian untuk Penghormatan Terakhir.

  1. Jenazah Al Marhum diletakkan ke atas Perbalaian Khas.
  2. Bintang-Bintang Kebesaran diaturkan di Tingkat Kedua Perbalaian itu.
  3. Pegawai Vigil mengambil tempat
  4. Perbaraan dan Pembaca Quran ditempatkan pada tempat yang ditentukan.
  5. Penghormatan Terakhir dimulakan bagi
    1. Rakyat-Rakyat sekelian
    2. Pegawai-Pegawai Kerajaan
    3. Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri, Orang-Orang Besar, Ahli-Ahli
      Majlis Mesyuarat Kerajaan dan Ahli-Ahli Dewan Pangkuan DiRaja.
    4. Kerabat-Kerabat DiRaja.
    5. Wakil-Wakil Negeri.
    6. Kalungan Bunga jika ada diterima di Istana.

5.2

  1. Apabila selesai Penghormatan Terakhir, Pegawai-Pegawai Vigil beredar dan Bintang-Bintang Kebesaran dibawa keluar.
  2. Jenazah Almarhum dibawa keluar dari Majlis Penghormatan  dipandu oleh
    Ketua Istiadat ke Majlis Pemasyuran Perlantikan.

6.0  Untuk menjalankan Istiadat Pemasyuran Perlantikan ganti seorang Sultan yang
       mangkat:-

  1. Suatu Majlis diatur di Majlis Perbalaian,didalam mana diadakan sebuah Perbalaian Khas tiga (3) tingkat. Tingkat bawah ukuran 13’ x 11’,tingkat Tengah ukuran 9’ x 8’ dan tingkat atas ukuran 7’ x 6’ tiap-tiap satu tingkat tingginya satu (1) kaki atau dengan ukuran-ukuran menurut kesesuaian tempat. Diatas Perbalaian ini akan diletakkan Jenazah Almarhum.
  2. Di Majlis itu tempat-tempat duduk diaturkan seperti berikut:
  3. Istiadat Pemasyuran Perlantikan dimulakan:-
  4. Ketua istiadat diiringi oleh dua (2) orang Kerabat Yang Ikrab dan dua (2) orang Ahli Dewan Pangkuan DiRaja mempersilakan Bakal Sultan berangkat ke Majlis.
  5. Bakal Sultan berangkat ke Majlis dengan dipandu oleh Ketua Istiadat yang menatang Keris Panjang Kerajaan (Nang Chayang) diiringi oleh (2) orang Kerabat Yang Ikrab dan dua (2) orang Ahli Dewan Pangkuan DiRaja.

  6. Bakal Sultan dipersilakan bersemayam diatas Perbalaian kearah pertengahan Jenazah: (Lihat Rajah Lampiran ‘A’)
  7. Ketua Istiadat mempersembahkan Keris Panjang Kerajaan lalu diterima dan diriba oleh Bakal Sultan.
  8. Yang DiPertua Dewan Pangkuan DiRaja mengangkat sembah lalu  membaca Pemahsyuran Perlantikan Ganti Sultan sebagaimana berikut:-
  9. Ketahuilah oleh sekelian yang hadir bahawa telah berlakulah kehendak Allah Yang Maha Kuasa di atas hambanya iaitu Raja kita yang dihormati lagi dikasihi Al Sultan………………………………… ibni……………………………………………………………………….. telah mangkat dan oleh kerana itu Ahli-ahli Dewan Pangkuan DiRaja Negeri Terengganu dengan kuasa-kuasa yang telah ditentukan kepadanya di bawah Fasal 6(1) Undang-Undang bagi Diri Kerajaan Terengganu Bab Yang Kedua (ke-2) telah memilih dan menetapkan………………….. ibni……………. menjadi Sultan Negeri Terengganu Darul Iman serta jajahan takluknya, mudah-mudahan diberkati Allah Subhanahuwataala akan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan kita yang baru supaya mewah makmur dan kebajikan.

    Bertarikh pada haribulan tahun

  10. Sebaik sahaja doa selamat habis dibaca Bendera Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dinaikkan.
  11. Doa selamat dibaca oleh Sahibul Samahah Al Mufti.           
  12. Sebaik sahaja doa selamat habis dibaca Bendera Peribadi itu pula
    diturunkan separuh tiang.
  13. Ketua Istiadat mengadap dan memohon titah untuk menyempurnakan       
    pemakaman Almarhum.
  14. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan menyerahkan Keris Panjang kepada Setiausaha Sulit.
  15. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan meletakkan tangan kanan diatas Jenazah mengisyaratkan supaya Jenazah Almarhum dimakamkan.
  16. Jenazah Almarhum diusung keluar dari Majlis Perbalaian oleh Kerabat-Kerabat Diiringi oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dan lain-lain
  17. Di luar majlis Jenazah Almarhum disambut oleh Orang-Orang Besar lalu dibawa ke Usungan Arakan Maharaja Diraja.
  18. Apabila Jenazah diusung keluar dari Istana, Kawalan Kehormatan di halaman Istana tafakur Junam Senjata.
  19. Setelah Jenazah diletakkan di atas usungan Maharaja Diraja dan sebelum
  20. Perjalanan menuju ke Makam dimulakan, Kawalan Kehormatan memberi
    Hormat Diraja yang terakhir kepada Jenazah Almarhum. Kawalan Kehormatan Seterusnya Tafakur Junam Senjata dan perjalanan ke Makam Diraja dimulakan.

7.0   Jenazah Almarhum itu dibawa dengan “Arakan Maharaja DiRaja” dan susunan perarakan adalah seperti Lampiran “B” dan “BB”.

8.0   Setelah Jenazah tiba di Makam DiRaja:-

  1. Alatan-alatan Kebesaran seperti Lembing,Payung Obor-Obor diatur keliling Bangunan Makam DiRaja dengan jarak yang sesuai.
  2. Penjawat-Penjawat yang membawa Perbaraan, air Telkin, Bunga,Tikar Telkin Dan Kelambu ditempatkan ketempat yang ditentukan.
  3. Setelah Jenazah selesai Dimakamkan, Telkin dibaca oleh Sahibul Samahah Al-Mufti yang diapit oleh dua (2) orang Ulama’ yang memakai Jubah,seorang (1) Pegawai yang ditugaskan mengawasinya.
  4. Jenazah Almarhum akan diusung oleh Pegawai-Pegawai Tentera keperakaman.
  5. Jenazah diturunkan kedalam liang oleh Kerabat-Kerabat Raja yang Akrab
  6. Setelah selesai Talkin dibaca,air Talkin dicucur oleh Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Besar dituruti oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dan Kerabat-Kerabat yang Akrab.
  7. Meriam ditembak sebanyak bilangan tahun bagi umur Almarhum itu sebagai penghormatan terakhir.

9.0       Alatan Istiadat Menghantar Jenazah

16 orang penjawat Lelaki Menyalampai kain Dukong menjawat Bentang Jalan
(iaitu sehelai Kain Kuning sepanjang 15 kaki) 8 sebelah kiri dan kanan

16 orang Penjawat Lelaki Menyalampai Wali Menjawat Lembing - 8 sebelah kiri dan kanan

16 orang Penjawat Lelaki Menyalampai wali Menjawat Bekas Bara – 8 sebelah kiri dan kanan

16 orang Penjawat Lelaki Menyalampai wali Menjawat Dian Pendek – 8 sebelah kiri dan kanan (tiada lagi digunakan sekarang)

16 orang Penjawat Lelaki Menyalampai Wali Menjawat Payung Ubor-ubor  - 8 sebelah ( 8 putih dan 8 kuning – 4 sebelah setiap satu warna payung)

Usungan Jenazah

Adalah sekiranya Anakanda Almarhum Sultan Zainal Abidin mangkat Alatan-alatan Kebesaran ialah serba 8 Raja Di-Raja. Kecuali yang menduduki Tahta Serba 16 Maharaja Di-Raja.

*Cucunda kepada Almarhum Sultan Zainal Abidin adalah Serba 8 tiada
  Raja Di-Raja.

*Yang Dipertua Dewan Pangkuan Diraja serba 8 tiada Raja Di-Raja.

  (*) Adalah tertakluk keampunan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di atas perkenan Baginda

LAMPIRAN  'A'

KANAN

KIRI
  1. Kerabat-Kerabat Raja dan Isteri

  2. Ahli-Ahli Dewan Pangkuan DiRaja dan isteri

  1. Menteri Besar dan Isteri

  2. Yang Dipertua Dewan dan Isteri

  3. Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan dan Isteri

BERHADAPAN JENAZAH

  1. Orang-Orang Besar dan Isteri

  2. Ahli-Ahli Dewan Negeri

  3. Ahli-Ahli Majlis Ugama Islam dan Adat Melayu

  4. Ulama-Ulama dan

  5. Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan

LAMPIRAN  'B'

  1. Bentang Jalan             
    (16 Penjawat menyelampai Kain  Dukung menjimbing Kain Kuning)

  2. Pengiring Tentera

  3. Pengiring Polis

  4. Ketua Istiadat

  5. Kumpulan Penjawat Di Raja Terdiri daripada

    1. 16 Lembing,
    2. 16 Bekas Baraiii.       
    3. Air, Bunga, Tikar Telkin, Kelambu
  6. Pembawa Bintang-Bintang Kebesaran
  7. Kumpulan Alim Ulama'
  8. Kumpulan Penarik Usungan Jenazah Diraja
  9. Kumpulan Penarik Jenazah Di Raja Kumpulan Pengusung Jenazah DiRaja
  10. Kerabat-Kerabat
  11. Wakil-wakil Raja
  12. Pelawat Orang-orang Kenamaan Luar Negeri
  13. Orang-orang Besar, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Ahli Dewan, Ketua-Ketua Jabatan

LAMPIRAN 'BB'

Usungan Maharaja DiRaja

Catatan :

Ω Payong Ubor-Ubor

*          1 hingga 12 Ahli Jumaah Pangkuan Negeri
*          Kiri dan Kanan Payong Ubor-Ubor :
Payong Ubor-Ubor Putih 8 dihadapan dan ;
Payong Ubor-Ubor Kuning 8 dibelakang

 

 

 

 


 

Maklum Balas | Bahasa Inggeris | Polisi & Privasi | Hubungi Kami | Peta Laman | Notis Perundangan

Hak Cipta Terpelihara Laman Web Kerajaan Negeri Terengganu

hit counter
Bilangan Pelawat