Untitled Document
   
Carian
Kuala Terengganu
 
Untitled Document
 
Laman Web Rasmi KDYMM Sultan Terengganu

HADITH HARI INI

Dari Jabir r.a katanya, dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:”Siapa yang tidak mempunyai sifat ramah tamah, bererti dia tidak mempunyai kebaikan.

 

UNDIAN

Pendapat anda tentang portal terkini Istana Terengganu?

Sangat Menarik :
Menarik:
Perlu Dibaiki:
Tiada Komen:
 

KALENDAR

 

PROMOSI WEB

 

 

 

 

 

 

Kesedaran dan Perjuangan Kemerdekaan

Terengganu juga tidak ketinggalan dalam gerakan kesedaran perjuangan kemerdekaan. Pada Mei 1937, Kesatuan Melayu Muda ( KMM ) ditubuh dan didaftarkan pada Ogos 1938, dibawah pimpinan Ibrahim Haji Yaacob.

Matlamat perjuangan KMM ialah melahirkan semangat kebangsaan orang Melayu daripada diperas dan membebaskan Tanah Melayu daripada penjajah dan bergabung dengan Indonesia untuk mewujudkan "Melayu Raya" atau "Indonesia Raya". Kempen yang dilakukan oleh Presiden KMM, Ibrahim Haji Yaacob di sekitar tahun 1940-1941 keseluruh Tanah Melayu telah berjaya menubuhkan cawangan KMM di Terengganu.

Pertemuan Ibrahim Haji Yaacob dengan beberapa orang pemuda di Grand Hotel, Kuala Terengganu membawa kepada penubuhan KMM. KMM cawangan Terengganu diketuai oleh Wan Daud Ahmad dan setiausahanya ialah Ibrahim bin Muhammad ( Ibrahim Fikri ). Di antara tokoh lain yang mengasaskan KMM di Terengganu ialah Muda Jalil, Ibrahim Sulaiman, Muda Kassim, Muda Rahim dan Zakaria Arshad. Wan Daud Ahmad ialah bekas pelajar Sekolah Inggeris Sultan Sulaiman dan Sekolah Arab Zainal Abidin. Ibrahim Fikri pula ialah bekas pelajar Sekolah Zainal Abidin.

Kemudiannya KMM berkembang di daerah Besut. Di antara mereka yang terlibat dalam pembentukan KMM Besut ialah Mohammed Senari Yunus, Ibrahim bin Ismail dan Sheikh Ali bin Mohamed.

Pada tahun 1940 beberapa orang pemimpin KMM, Ibrahim Haji Yaacob, Ishak Haji Muhammad, Hassan bin Manan, Ahmad Boestaman dan Isa Mohd bin Mahmud ditahan oleh British kerana disyaki merancang pakatan menentang British dan bekerjasama dengan pihak Jepun. Namun demikian, pemimpin KMM Terengganu seperti Ibrahim Fikri dan Wan Daud Ahmad tidak ditahan. Apabila Jepun menguasai Tanah Melayu, KMM yang sedang berkembang dibubarkan pada tahun 1942. Berikutnya pemimpin KMM terlibat dalam Pembela Tanah Air ( PETA ), dibawah pimpinan Ibrahim Haji Yaacob. PETA Terengganu pula dipimpin oleh Ibrahim Fikri. Dalam gerakannya Ibrahim Fikri mendapat sokongan daripada Haji Muhammad Salleh bin Awang.

Pada tahun 1942-1945, Terengganu mengalami pendudukan Jepun. Dalam jangka masa ini Terengganu ditadbirkan oleh Tentera Jepun, 1942-1943 dan Pentadbiran Tentera Thai, 1943-1945. Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah dikekalkan di atas takhta kerajaan Terengganu. Pada 18 Mac 1942, Manabu Kuji tiba di Kuala Terengganu untuk memegang jawatan Syuciji (Gabenor). Dengan mengekalkan bidang kuasa Sultan dalam hal yang berkaitan dengan agama, pentadbiran tentera Jepun membentuk pentadbiran Terengganu berasaskan kepada empat pejabat; Pejabat Cuji Keimu-bu (Pejabat khas untuk Tuan Syuciji Terengganu), Pejabat Somu-bu (Pejabat Am), Pejabat Zaimu-bu (Pejabat Khazanah) dan Pejabat Sangyo-bu (Pejabat perniagaan) serta Pejabat Kotsu-bu (Pejabat Pengangkutan).

Dalam tahun 1943, pentadbiran tentera Jepun memindahkan pentadbiran Terengganu kepada kerajaan Thai. Pada 15 Oktober 1943, Gabenor dan pegawai-pegawai Thai tiba di Terengganu untuk mengambil alih teraju pentadbiran. Negeri Terengganu diserahkan oleh Kerajaan Dai Nippon kepada Kerajaan Thai pada pukul 11:50 pagi, 18 Oktober 1943. Pentadbiran Thai di Terengganu berakhir setelah Jepun menyerah kalah kepada pihak Berikat pada 15 Ogos 1945. Dengan itu pada tahun 1945, Terengganu diletakkan di bawah Region 8, di bahawa pentadbiran Pegawai Kanan Hal Ehwal Awam ( Senior Civil Affairs Officer ) Terengganu, yang disandang oleh Leftenan Kolonel D. Headley.

Sementara itu Kerajaan British sedang berusaha untuk memperkenalkan Malayan Union di Tanah Melayu. Pada 17 Oktober 1945, Parti Kebangsaan Melayu Malaya ( PKMM ) ditubuhkan di Ipoh, Perak oleh sekumpulan yang terlibat dalam perjuangan KMM. Cawangan PKMM merebak ke seluruh Tanah Melayu termasuk Terengganu. PKMM cawangan Kuala Terngganu
ditubuhkan di Chabang Tiga oleh Awang bin Ali dan Haji Abdul Latif. Ibrahim Fikri menyertai PKMM setelah dibebaskan daripada tahanan pada April 1946. Beliau dilantik menganggotai Majlis Tertingggi Kerja PKMM. Cawangan PKMM berkembang di Terengganu, antaranya di Dungun dan Besut. Cawangan PKMM Kampung Raja, Besut ditubuhkan pada akhir 1945. Mereka yang terlibat ialah Wan Ahmad sebagai Yang DiPertua, Salleh bin Muhammad sebagai setiausaha dan Haji Taib bin Abdullah sebagai Bendahari.

Cawangan PKMM Jertih ditubuhkan pada tahun 1946 oleh Ibrahim Ismail dan beberapa orang rakannya seperti A. Rahman bin Muhammad, Mohd Daud bin Samad dan Mohd Noor bin Awang; di Kuala Besut ditubuhkan pada tahun 1947 oleh Yusof bin Embong, Mohd Senari Yunos, Wan Hasan bin Muda dan Mohd Noor bin Ismail . PKMM juga ditubuhkan di Kemaman pada tahun 1946, dipimpin oleh Wan Yahya bin Haji Wan Muhammad.

Pada tahun 1946, kerajaan British mengambil keputusan memperkenalkan Malayan Union. Pengenalan MU mendapat bantahan daripada masyarakat Melayu. Tentangan ini pula berkisar di sekitar masalah kerakyatan dan kedudukan Raja-Raja Melayu. Akhbar Utusan Melayu dan Majlis turut memainkan peranan menentang Malayan Union. Pada 24 Januari 1946, Onn bin Jaafar melalui akhbar Majlis menggesa supaya orang Melayu mengadakan kongres seTanah Melayu. Dalam Kongres Ketiga yang diadakan di Kelab Sultan Sulaiman pada 1 April 1946 beberapa orang telah dipilih untuk menggubal perlembagaan bagi United Malays National Organisation ( UMNO ). Akhirnya dalam perjumpaan 11 Mei 1946 yang berlangsung di Johor Bharu pada 11 - 12 Mei 1946, UMNO dengan rasminya dilahirkan dengan Onn Jaafar menjadi Presiden yang pertama.

Berikutnya cawangan UMNO ditubuhkan di negeri-negeri di Tanah Melayu; termasuk Terengganu. Menyedari adanya tentangan maka Kerajaan British mengambil sikap berunding dengan orang-orang Melayu untuk merangka Perlembagaan baru.

Sultan Ismail Nasiruddin Shah menurunkan tandatangan ke atas Perjanjian Persekutuan pada 21 Januari 1948. Pada 6 Jun 1949 Sultan Ismail Nasiruddin Shah dan Tengku Ampuan ditabalkan. Kini Terengganu bersama-sama negeri lain dalam Persekutuan Tanah Melayu menuju ke arah berkerajaan sendiri. Pada 30 September 1952, Menteri Besar Terengganu mengumumkan di dalam Majlis Mesyuarat Negeri, pilihan wakil Majlis Perbandaran Kuala Terengganu diadakan pada tahun 1953. Pilihan raya ini adalah berdasarkan kepada Local Authority and Local Council Election Ordinance yang diluluskan oleh Majlis Perundangan Persekutuan ( Federal Legislative Council ) pada 28 September 1950 dan 3 Julai 1952. Kawasan pilihanraya Majlis Perbandaran ini diwartakan dalam Warta Kerajaan pada 21 Januari 1953. Tiga kerusi diperuntukkan dalam pilihanraya ini; Kuala, Ladang dan Bukit Besar. Ketiga-tiga kerusi ini dimenangi oleh calon Perikatan.

Perkembangan ke arah berkerajaan sendiri terus berjalan. Pada 7 September 1954, pengisytiharan mengenai pilihanraya bagi negeri dibuat. Pengisytiharan ini dibuat oleh Sultan Ismail Nasiruddin Shah dan ditandatangani oleh Menteri Besar Terengganu, Encik Kamaruddin Idris. Pilihanraya tersebut akan diadakan pada 29 Oktober 1954. Terengganu memperuntukkan 15 kawasan untuk pilihan raya tersebut. Lima belas kawasan tersebut ialah Kuala Besut, Hulu Besut, Setiu, Bandar Kuala Terengganu, Ladang, Bukit Besar, Kuala Terengganu Utara, Kuala Terengganu Barat, Kuala Terengganu Tengah, Kuala Terengganu Selatan, Hulu Terengganu, Marang, Dungun, Paka-Kemaman Utara dan Kemaman Selatan.

Ketika penamaan calon, dua calon Perikatan menang tanpa bertanding di kawasan Paka-Kemaman Utara. Pilihan raya ini adalah pertama kali di Pantai Timur dan kedua selepas Johor di Persekutuan Tanah Melayu. Dalam pilihan raya ini, pengundi datang mendaftar sebagai pemilih dan terus mengundi pada hari yang sama. Baki kerusi sebanyak 13 ditandingi oleh 14 calon Perikatan dan 10 calon Negara dan 9 calon bebas. Dalam pilihan raya tersebut Parti Perikatan memenangi semua kerusi yang dipertandingkan.

Kemudiannya ketetapan telah dibuat untuk mengadakan pilihan raya Persekutuan pada tahun 1955. Seperti juga negeri-negeri lain di Tanah Melayu, Terengganu juga membuat persiapan untuk menghadapi pilihanraya tersebut. Tiga kawasan iaitu Terengganu Utara, Terengganu Tengah dan Terengganu Selatan akan dipertandingkan. UMNO Terengganu dikehendaki mengemukakan calon untuk bertanding dalam pilihanraya itu. Mereka yang dipilih ialah Dato' Perwira Negara Haji Ali bin Long, Che Ibrahim Fikri dan Wan Yahya bin Mohamed. Kemudiannya Dato' Perwira Negara Haji Ali bin Long menarik diri daripada menjadi calon pilihanraya Persekutuan 1955. Dengan itu Jawatankuasa Perhubungan UMNO Terengganu bersidang sekali lagi pada 25 Mac 1955 dan sebulat suara bersetuju mencalonkan Engku Mohsein bin Abdul Kadir sebagai ganti calon dalam kawasan Terengganu Tengah. Che Ibrahim Fikri, calon UMNO bertanding di kawasan Terengganu Tengah menentang calon Parti Negara, Encik Sulaiman bin Ali. Wan Yahya bin Haji Wan Mohamed, calon UMNO pula menentang Ibrahim bin Mat Noh, Parti Negara di kawasan Terengganu Selatan.

Dalam pilihanraya yang berlangsung pada 27 Julai 1955 di tiga kawasan, Terengganu Utara, Terengganu Tengah dan Terengganu Selatan, Parti Perikatan berjaya mengalahkan calon Parti Negara. Dalam pilihanraya ini 52 kerusi dipertandingkan di seluruh Tanah Melayu. Parti Perikatan memenangi 51 kerusi dan hanya 1 kerusi sahaja dimenangi oleh Parti Islam Se Malaysia ( PAS ) di kawasan Kerian, Perak.

Kini Parti Perikatan membentuk kerajaan mentadbir Persekutuan Tanah Melayu. Sementara itu rundingan kemerdekaan diteruskan sehinggalah Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

 

 

 


 

Maklum Balas | Bahasa Inggeris | Polisi & Privasi | Hubungi Kami | Peta Laman | Notis Perundangan

Hak Cipta Terpelihara Laman Web Kerajaan Negeri Terengganu

hit counter
Bilangan Pelawat