Untitled Document
   
Carian
Kuala Terengganu
 
Untitled Document
 
Laman Web Rasmi KDYMM Sultan Terengganu

HADITH HARI INI

Dari Jabir r.a katanya, dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:”Siapa yang tidak mempunyai sifat ramah tamah, bererti dia tidak mempunyai kebaikan.

 

UNDIAN

Pendapat anda tentang portal terkini Istana Terengganu?

Sangat Menarik :
Menarik:
Perlu Dibaiki:
Tiada Komen:
 

KALENDAR

 

PROMOSI WEB

 

 

 

 

 

 

RIWAYAT  HIDUP KE BAWAH DULI YANG MAHA MULIA
SULTAN MIZAN ZAINAL ABIDIN,
SULTAN TERENGGANU

 

         Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah telah diputerakan pada 22 hari bulan Januari, 1962 bersamaan 15 hari bulan Syaaban, 1381 di Bandar Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman.  Kebawah Duli Yang Maha Mulia adalah putera sulung daripada tujuh bersaudara.

         Baginda menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Sultan Sulaiman dan kemudiannya meneruskan pendidikan pada peringkat menengah di Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu.  Seterusnya Baginda telah berangkat ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran di Geelongs Grammar, Victoria, Australia dari tahun 1980 hingga 1981.  Sebelum mengikuti kursus tentera di luar negara, Baginda berkesempatan meneruskan Kursus Bakal Tentera di Kem Sebatang Karah, Port Dickson, Negeri Sembilan mulai 18 hari bulan Mei 1981 selama 3 bulan.  Selanjutnya Baginda telah mengikuti kursus tentera PRE SMC (E) 33 di Army School of Languages mulai 2 hari bulan November 1982 hingga 31  hari bulan Mei, 1983 serta kursus SMC 33 di Royal Military Academy, Sandhurst, England mulai 3 hari bulan Mei, 1983 hingga 9 hari bulan Disember 1983.  Baginda telah ditauliahkan pangkat Leftenan Kehormat di Kor Kavalri Diraja pada 1 hari bulan Mac 1984.  Minat Baginda yang mendalam terhadap bidang keilmuan telah mendorong Baginda untuk sekali lagi berangkat ke luar negara bagi menyambung pelajaran  di  London menerusi US International University-Europe dan berjaya menggengam ijazah Sarjana Muda Sastera (Bachelors Of Arts) dalam bidang Hubungan Antarabangsa pada 9 Jun 1988.

         Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin menunjukkan kepemimpinan semenjak usia belasan tahun lagi. Dalam usia yang masih muda iaitu semasa berusia 17 tahun Baginda telah dilantik dan dimasyhurkan sebagai Yang Dipertuan Muda bagi Negeri Terengganu Darul Iman iaitu pada tanggal 6 November 1979.  Kewibawaan Baginda terserlah menerusi lantikan sebagai Pemangku Raja bagi kali pertama pada 20 Jun 1986 dan seterusnya bagi kali kedua pada 21 Oktober 1990 sehingga 8 November 1990.

          Bahawasanya, Baginda tidak hanya dilingkungi dengan batas kehidupan istana semata-mata, malah sebagai buktinya baginda telah  dilantik untuk berkhidmat buat pertama kalinya sebagai Penolong Pemungut Hasil Tanah pada 15 September 1981. Pengalaman awal yang diterima baginda selama setahun berkhidmat  di Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Terengganu banyak memperkaya pengalaman dan membina disiplin diri yang kental sebelum Baginda berangkat ke luar negara untuk mengikuti kursus ketenteraan di England.

         Sekembalinya Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan ke tanah air setelah menamatkan pengajian di luar negara, Baginda sekali lagi dilantik sebagai Pegawai Tadbir Negeri pada 11 Julai, 1988 sehingga 10 Julai 1989 dan kali ini Baginda ditempatkan di Unit Perancang Ekonomi Negeri  (UPEN) di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu. Baginda telah dipertanggungjawabkan sebagai Penolong Pentadbir Tanah Daerah selama dua tahun iaitu mulai 11 Julai 1989 hingga 10 Julai 1991.  Sesungguhnya Baginda bukan sahaja terlibat dalam kerja-kerja pentadbiran yang bersangkut paut dengan agenda ekonomi dan sosial sahaja,  malah Baginda sangat cenderung dan mengambil berat terhadap hal ehwal keagamaan. Justeru dengan penuh rasa keinsafan dan keprihatinan Baginda terhadap hal ehwal agama Islam, Baginda telah dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) mulai 1 Jun 1991 hingga 31 Disember 1995.

          Pada tanggal 28 Mac 1996, Baginda telah diijabkabulkan dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah.  Istiadat Perkahwinan Diraja ini telah dilangsungkan dengan situasi gilang-gemilang dan dalam suasana  kesederhanaan yang meriah  di Istana Maziah, Kuala Terengganu.

          Sesungguhnya dengan kekentalan ikatan kasih Baginda dalam melayari bahtera kehidupan berkeluarga pada saat ini, Allah s.w.t telah menganugerahkan empat orang cahaya mata.  Dua orang puteri dan dua orang putera iaitu Yang Amat Mulia Tengku Nadhirah Zahrah diputerakan pada 18 Disember 1996, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Ismail diputerakan pada 1 Mac 1998, Yang Amat Mulia Tengku Muhammad Mua’az diputerakan pada 22 Disember 2000 manakala Yang Amat Mulia Tengku Fatimatuz Zahra’ diputerakan pada 19 April 2002.

          Dengan kehendak  dan izin Allah s.w.t Yang Maha Kuasa pada 18 Muharam 1419 bersamaan 15 Mei 1998, Baginda telah dimasyhurkan sebagai Sultan dan Yang Dipertuan bagi Negeri Terengganu Darul Iman serta segala jajahan takluknya.

          Begitu juga dengan izin dan takdir Allah s.w.t juga hendaknya, tidak sampai setahun bersemayam di persada takhta Terengganu Darul Iman, baginda Sultan segera dilantik sebagai  Timbalan Yang Dipertuan Agong pada tanggal 26 April, 1999.  Serentak dengan pengisytiharan tersebut, Baginda telah memegang amanah bagi menjalankan kewajipan-kewajipan serta fungsi-fungsi jawatan Yang Dipertuan Agong pada 14 September 2000 hingga 10 Oktober 2000 semasa Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong bercuti di luar negara. Baginda sekali lagi diisytiharkan menjalankan kewajipan-kewajipan dan fungsi-fungsi jawatan Yang Dipertuan Agong pada 4 Oktober 2001 hingga 12 Disember 2001.

         
         Baginda begitu perhatin mengenai kemakmuran dan keharmonian hidup rakyat jelata. Hal demikian terserlah dalam tindakan baginda dalam menangani permasalahan hal ehwal kemasyarakatan dan keagamaan. Dengan demikian Baginda dilihat sentiasa mengintai peluang mencemar duli untuk mencuri waktu bagi berdampingan dengan golongan rakyat jelata.  Sehubungan itu Baginda  mempunyai hubungan akrab dengan rakyat jelata atau dengan kata lain raja berjiwa rakyat. Bagi merapatkan jurang antara rakyat dan istana, Baginda mengambil pendekatan turun ke akar umbi bagi menemui khalayak rakyat jelata dengan bersembahyang fardu Jumaat di masjid-masjid seluruh negeri Terengganu. Dalam konteks kehidupan beragama, Baginda sering kali menekankan perihal pentingnya mengamalkan kesucian agama Islam. Manifestasi daripada hal berkenaan dapat dilihat menerusi keberangkatan ke Mekah pada tahun 2003 untuk menunaikan fardu haji bersama-sama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Terengganu dan Duli Yang Teramat Mulia Yang Di-Pertuan Muda Terengganu.  Keutamaan baginda terhadap pemupukan nilai-nilai amalan agama, juga diperlihatkan menerusi  ibadah umrah yang menjadi amalan tahunan oleh Baginda dan keluarga.

          Sesungguhnya baginda tidak dapat memisahkan diri daripada  terlibat dalam melakukan aktiviti-aktiviti bersama golongan rakyat. Sebagai landasan untuk membantu dan menyebarluaskan usaha berkenaan, Baginda telah mengambil inisiatif mewujudkan sebuah Yayasan yang diberi gelar Yayasan Diraja Sultan Mizan. Yayasan berkenaan telah  dilancarkan pada 19 Julai 2005, bersempena Hari Ulang tahun ke-43 Keputeraan Baginda.  Yayasan ini membuka ruang seluas-luasnya pada Baginda untuk terlibat dalam kerja-kerja amal yang bertujuan menyumbang kepada usaha peningkatan taraf sosioekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat khasnya bagi Negeri Terengganu dan rakyat Malaysia amnya.  Bagi mencapai matlamat berkenaan, Yayasan akan terlibat dalam menganjurkan dan membantu serta membiayai pelbagai usaha di bidang penyelidikan yang merangkumi disiplin ekonomi, sosial, agama, budaya, sains dan teknologi. Cakupan atau tujahan bidang yang dimaksudkan termasuklah dalam bidang perhutanan, sains teknologi dan inovasi, pertanian, perikanan, agama Islam, pendidikan, warisan seni, sastera, budaya, alam sekitar, sukan, kesihatan serta khidmat kemasyarakatan.  Sebahagian besar aktiviti yang dijalankan oleh Yayasan telah mencapai matlamatnya dengan meraih sokongan daripada pelbagai pihak. Baginda begitu mengambil berat berkenaan impak keberkesanan dan kejayaan Yayasan ini. Oleh yang demikian, bagi menjamin kesinambungan usaha-usaha ini tidak tergendala, di samping memastikan matlamat penubuhan Yayasan tercapai secara maksimum, Baginda sendiri bertindak proaktif dengan melibatkan diri secara langsung dengan mempengerusikan setiap mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Yayasan tersebut. Penglibatan dan iltizam Baginda membuktikan bahawa Baginda sangat teliti dan serius dalam setiap tindakannya lebih-lebih lagi jika ia bersangkutan dengan permasalahan nasib rakyat.

          Selain sibuk dengan kerja-kerja amal dan pentadbiran, Baginda bijak memperuntukkan sebahagian masa untuk beriadah, rekreasi dan bersukan. Baginda semasa zaman remaja  menaruh minat yang tinggi dalam sukan seperti bola sepak, golf, tekwando, scuba diving dan menunggang kuda.  Disebabkan kekangan masa dan tambahan tanggungjawab menyebabkan  Baginda tidak lagi dapat bergiat aktif dalam melibatkan diri secara langsung dalam aktiviti tersebut namun Baginda sentiasa mengikuti perkembangannya dari masa ke semasa.  Dalam sukan bola sepak, keterlibatan Baginda dapat dilihat dengan lantikan sebagai  penaung kepada Persatuan Perkasa Alam. Persatuan ini terlibat dalam sukan bola sepak dan pernah menyertai liga anjuran Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM). Baginda juga turut memberi perhatian yang serius terhadap perkembangan pasukan bola sepak Negeri Terengganu dan sentiasa memberi perangsang dan menyuntik semangat bagi menjulang nama Negeri Terengganu dalam arena bola sepak negara.

          Fokus dan ketelitian Baginda di dalam kehidupan seharian dapat diterjemahkan menerusi langkah Baginda dalam kecekapan dan kemahiran permainan golf. Sebagai hasilnya, Baginda pernah mencapai single handicap. Namun tugas dan tanggungjawab Baginda yang semakin bertambah membatasi Baginda untuk bergiat aktif dalam sukan  kegemaran Baginda berkenaan. Namun begitu, keterlibatan Baginda  dalam acara golf dihadkan sekadar memenuhi undangan acara-acara rasmi sahaja. Malah Baginda  juga turut menjadi penaung pada Kelab Golf Diraja Terengganu.

          Keupayaan Baginda dalam membahagikan tugas rasmi dan aktiviti peribadi dapat diperlihatkan menerusi kecenderungan Baginda dalam meningkatkan kecergasan jasmani. Baginda menyenangi seni mempertahankan diri tekwando  dan  secara tidak langsung, Baginda juga terlibat sebagai penaung kepada Malaysia Global Taekwando Federation (MGTF) semenjak tahun 1990.  Pada peringkat global, Baginda juga pernah dilantik sebagai Presiden Tekwando Asia Pacific ITF.  Keprihatinan dan minat serta  keterlibatan Baginda secara serius terhadap sukan tekwando ini telah mendorong Baginda untuk dianugerahkan 7th Degree Black Belt (Kehormat) oleh Global Taekwando Federation (GTF).  Sejajar dengan minat Baginda yang mendalam terhadap sukan ini, Malaysia telah berjaya mendapat kepercayaan menganjurkan World Taekwando Championship di Kuala Terengganu pada tahun 1994 yang disertai oleh 88 buah negara.  Kewibawaan Baginda terus terserlah iaitu pada tahun 2003 apabila Terengganu telah dipilih menjadi tuan rumah Pertandingan Tekwando Peringkat Kebangsaan (MGTF). Sebagai penaung MGTF Baginda akan merasmikan setiap pertandingan tekwando peringkat kebangsaan anjuran badan terbabit, manakala piala pusingannya adalah sumbangan Baginda sendiri.

          Sejajar dengan kematangan umur, akhir-akhir ini Baginda menunjukkan minat yang cukup tinggi dalam sukan berkuda khususnya Endurance.  Baginda banyak terlibat dalam menyertai pertandingan Endurance Ride  yang dianjurkan sama ada di dalam negara atau di luar negara.  Adalah menjadi harapan dan hasrat Baginda agar sukan berkuda Endurance ini turut diminati dan diceburi oleh rakyat  Terengganu khususnya dan Malaysia amnya.  Dalam merealisasikan hasrat tersebut dan atas daya usaha Baginda sendiri, sebuah Pusat Ekuestrian, sukan dan rekreasi bertaraf antarabangsa telah siap dibina di Kuala Ibai, Kuala Terengganu yang turut dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan rekreasi dan sukan.

          Baginda telah menubuhkan Royal Terengganu Endurance Stable (RTES) bagi tujuan untuk menyertai pertandingan sukan Endurance berkuda di dalam dan di luar negara.  Banyak kejohanan di dalam dan di  luar negara yang telah disertai dan pada bulan Ogos 2006, seramai 3 orang penunggang RTES telah mewakili Malaysia pada kejohanan WEC (World Equestrian Games) di Aachen, Germany.  Pasukan ini juga sedang bersiap sedia untuk menyertai kejohanan European Open 2007 dan juga membuat persiapan untuk WEC 2008 di Lembah Bidong, Terengganu, Malaysia.

          Dalam sukan Endurance Ride, Baginda telah mencapai kejayaan peribadi dengan keupayaan melayakkan diri dalam pertandingan peringkat antarabangsa setelah melepasi ujian 80 km pada tahun 2002.  Baginda pernah menjuarai pertandingan Wilga 80 kilometer  Endurance Ride, Wilga Australia pada 13 Mac 2004 dan  turut mendapat tempat pertama dalam kejohanan Harris River Ride 90KM di Perth, Australia pada 3 September 2005.  Baginda pernah mewakili Malaysia di Kejohanan Endurance 160KM Dubai, UAE pada 27 Januari 2005.  Bagi kejohanan  Kelantan Royal Jublee Endurance 160KM pada 8 Oktober 2004 baginda mendapat tempat ketiga, manakala tempat keempat dalam kejohanan          Johor Endurance 105KM pada 8 Februari 2004

          Dengan kesungguhan dan inisiatif Baginda juga, Malaysia telah berjaya dipilih untuk menganjurkan World Endurance Championship di Lembah Bidong, Terengganu pada tahun 2008.  Bahawasanya Baginda telah banyak menyuntik semangat dalam menyemarakkan sukan berkuda  dan hasilnya kini menjadikan sukan berkuda lebih dikenali dan diminati oleh sebahagian besar rakyat Malaysia.

         Baginda telah dianugerahkan dengan Darjah Kebesaran iaitu Darjah Seri Paduka Mahkota Terengganu Yang Amat Dihormati (S.P.M.T) pada 6 hari bulan Mac 1982, Darjah Seri Paduka Mahkota Johor (S.P.M.J) pada 8 April 1986, Darjah Seri Setia Sultan Mahmud Terengganu Yang Amat Terpuji (S.S.M.T) pada 12 Februari 1989, Darjah Utama Kerabat Terengganu (D.K.T) pada 15 Mei 1998, Darjah Kerabat Baginda Tuanku Syed Putera Jamalullail (D.K. Perlis) pada 28 Mei 1998, Darjah Kerabat Mahkota Johor Yang Amat Dihormati (D.K. Johor) pada 1 Oktober 1998, Darjah Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N) pada 27 Februari 1999, Darjah Kerabat Diraja Terengganu Yang Amat Mulia (D.K.R) pada 6 Julai 2000, Darjah Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Yang Amat Terpilih (S.S.M.Z) pada 6 Julai 2001, Bintang Kebesaran Negara Perancis Commandeur de a Legion d’Honneur pada 15 Julai 2001, Darjah kerabat Negeri Sembilan Yang Amat Dihormati (D.K. Negeri Sembilan) pada 19 Julai 2001, Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati Negeri Kedah Darul Aman (D.K. Kedah) pada 20 Januari 2002, Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (Al-Yunus) (D.K. Kelantan pada 30 Mac 2002), Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati Selangor (D.K. Selangor) pada 7 Mac 2003, Darjah Seri Utama Sultan Mizan Zainal Abidin Yang Amat Terpilih (S.U.M.Z,) pada 26 Mei 2005, The Most Auspicious Order of The Rajamitraborn ( Thailand ) pada tahun 2009, dan Collar De La Order Al Merito De Chile ( Chilie ) pada tahun 2009.

 

 

 

 


 

Maklum Balas | Bahasa Inggeris | Polisi & Privasi | Hubungi Kami | Peta Laman | Notis Perundangan

Hak Cipta Terpelihara Laman Web Kerajaan Negeri Terengganu

hit counter
Bilangan Pelawat