
PEJABAT KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA
SULTAN TERENGGANU
OFFICE OF HIS ROYAL HIGHNESS THE SULTAN OF TERENGGANU
BERITA
JADIKAN RASULULLAH SEBAGAI CONTOH TERBAIK

Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan replika hadiah kemenangan kepada CEO Terengganu Inc yang menjuarai kategori Syarikat Swasta.
KUALA NERUS – Rakyat negeri ini diseru supaya menjadikan kecekalan dan keteguhan hati Nabi Muhammad SAW dalam mengharungi dugaan serta ujian yang dihadapi sebagai contoh terbaik ketika menghadapi ujian.
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah terdapat banyak contoh teladan yang boleh diikuti daripada sirah Nabi Muhammad SAW terutama yang berkaitan dengan akhlak Rasulullah.
Menurut baginda, ketinggian akhlak dan kemuliaan peribadi Nabi Muhammad SAW dalam menyebar ajaran Islam telah menjadikan Rasulullah sebagai contoh terbaik kepada umat sezamannya dari kalangan para sahabat yang teguh bersama dalam menghadapi ujian, baik dalam keadaan senang mahupun susah.
“Begitulah yang sepatutnya ada pada diri kita semua, perlu berlapang dada dalam menghadapi sebarang kesulitan dan kesempitan hidup terutama di akhir-akhir ini. Anggaplah apa yang menimpa dan berlaku sebagai ujian daripada Allah SWT dan menjadi kewajipan kepada kita supaya terus berusaha dan meningkatkan azam di samping bersyukur atas nikmat rezeki yang dikurniakan,” titah baginda ketika merasmikan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Terengganu Tahun 1444H/2022 di Stadium Tertutup, Gong Badak pada Ahad.
Keberangkatan tiba baginda bersama Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail disambut Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar serta barisan kepimpinan kerajaan negeri.
Sultan Mizan bertitah, mencintai, mengasihi dan menghayati sirah Nabi Muhammad SAW merupakan satu kewajipan ke arah mendidik jiwa serta pembinaan sahsiah diri sebagai umat Islam.
"Justeru, beta mencadangkan supaya di sepanjang bulan Rabiulawal ini, institusi masjid dan surau dapat mengadakan program serta aktiviti yang menjurus kepada menzahirkan rasa cinta dan kasih kepada baginda.
91 TERIMA DARJAH, PINGAT HARI KEPUTERAAN SULTAN TERENGGANU

SATIFUL Bahari Mamat (kiri) menerima anugerah D.P.M.T daripada Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu, hari ini.
KUALA TERENGGANU: Seramai 91 individu menerima kurniaan darjah kebesaran dan pingat sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin ke-60, di Istana Syarqiyyah di sini, hari ini.
Sultan Mizan berkenan menyampaikan darjah kebesaran dan pingat kepada semua penerima.
Turut berangkat pada istiadat pengurniaan tersebut ialah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail. Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Mendahului senarai penerima darjah kebesaran ialah Duta Besar Malaysia ke Perancis, Datuk Mohd. Zamruni Khalid yang dikurnia Darjah Kebesaran Dato’ Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu Yang Amat Terpilih (D.S.M.Z) dan membawa gelaran Datuk.
Seramai 18 individu termasuk dua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu iaitu Satiful Bahari Mamat dan Dr. Alias Razak dikurnia Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Terengganu Yang Amat Dihormati (D.P.M.T).
Selain itu, darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk itu juga dikurnia kepada Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad, Datuk Muhammad Idham Nawawi; Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd. Zakri Wan Mohd. dan Timbalan Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner Wan Rukman Wan Hassan.
Darjah kebesaran
Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Terengganu, Tun Ahmad Faizal Tun Abdul Razak dan Pengarah Pertanian negeri, Zulkepli Mat Jusoh @ Yusof dikurnia darjah kebesaran D.P.M.T.
Sultan Mizan juga berkenan mengurniakan pingat Darjah Kebesaran Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu Yang Amat Terpilih (S.M.Z) kepada 25 individu termasuk empat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terenganu iaitu Hanafiah Mat, Ariffin Deraman, Dr. Mamad Puteh dan Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman.
Seramai 17 individu termasuk dua ahli akademik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) iaitu Prof. Dr. Tengku Sifizul Tengku Muhammad dan Prof. Dr. Mohd. Shaladdin Muda pula dikurnia pingat Darjah Ahli Setia Mahkota Terengganu Yang Amat Dihormati (S.M.T).
Pingat Darjah Kebesaran Ahli Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu Yang Amat Terpilih (A.M.Z) dan Darjah Ahli Mahkota Terengganu Yang Amat Terhormat (A.M.T) pula masing-masing dikurniakan kepada empat dan 26 orang.
Antara penerimanya ialah Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Suffian Sulaiman dan Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Baharudin Abdullah.- UTUSAN