BERITA

24 INDIVIDU TERIMA ANUGERAH DARJAH KEBESARAN TERENGGANU

Sultan Mizan berkenan mengurniakan Darjah Seri Setia Sultan Mizan Zailnal Abidin yang membawa gelaran Datuk Seri kepada Mohd Zuki (kiri) pada Istiadat Pengurniaan Bintang-Bintang Darjah Kebesaran Negeri Terengganu Darul Iman Tahun 2021 di Istana Syarqiyyah pada Ahad. - Foto Bernama
 

KUALA TERENGGANU - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada Ahad berkenan mengurniakan bintang dan darjah kebesaran negeri Terengganu kepada 24 individu bagi 2021.

Turut berangkat ke istiadat tersebut yang berlangsung di Istana Sharqiyyah, Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali mendahului senarai 24 penerima apabila dianugerahkan Darjah Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZ) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Seramai 19 individu dianugerahkan Darjah Datuk Paduka Mahkota Terengganu (DPMT) yang membawa gelaran Datuk, termasuk pelumba basikal negara, Azizulhasni Awang; Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Kasemani Embong; Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, Dr Nor Azimi Yunus dan Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar.

Sultan Mizan juga berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Setia Mahkota Terengganu Yang Amat Dihormati (SMT) kepada empat penerima termasuk Pakar Patologi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Dr Fatimah Haslina Abdullah dan Pengarah Hospital Hulu Terengganu, Dr Mohamad Yurzi Mat Rani @ Ghani. - Bernama

Sumber : https://www.sinarharian.com.my/article/187648/BERITA/Nasional/24-individu-terima-anugerah-darjah-kebesaran-Terengganu

SULTAN MIZAN LANCAR BUKU SEJARAH DAN PERKEMBANGAN DUN TERENGGANU

SULTAN MIZAN LANCAR BUKU SEJARAH DAN PERKEMBANGAN DUN TERENGGANU.jpeg

SULTAN Mizan (depan) diiringi Ahmad Samsuri Mokhtar menandatangani buku Sejarah dan Perkembangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kuala Terengganu, hari ini. - PUQTRA HAIRRY ROSLI

KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan melancarkan buku Sejarah dan Perkembangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di sini hari ini. 

Buku kedua yang diterbitkan DUN itu menghimpunkan sejarah perkembangan badan legislatif negeri sepanjang tempoh 63 tahun sejak 1959 hingga kini.

Antara kandungannya termasuk koleksi gambar-gambar keberangkatan Sultan Terengganu yang memerintah setiap kali pembukaan penggal baru persidangan.

 

Yang Dipertua DUN, Datuk Yahaya Ali berkata, buku berkenaan turut memuatkan sejarah perkhidmatan yang dipertua, setiausaha, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari sidang pertama hingga ke-14 di samping bangunan persidangan, cokmar dan pakaian rasmi.

“Selain itu, buku ini juga memaparkan tulisan tokoh-tokoh akademik mengenai sejarah Terengganu, Perlembagaan negeri, pilihan raya, institusi DUN dan aktiviti-aktiviti semasa bagi memantapkan lagi kerajaan. 

“Usaha mengumpulkan bahan-bahan tidak mudah dan kita mengambil masa lebih setahun kerana ia melibatkan sejarah lama,” katanya ketika berucap dalam majlis itu.

Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar. 

Sebelum ini, DUN Terengganu menerbitkan buku bertajuk ‘Pemantapan DUN – Perkembangan dan Masa Depan’ dilancarkan kira-kira dua tahun lalu.

Sumber : https://www.utusan.com.my/berita/2022/03/sultan-mizan-lancar-buku-sejarah-dan-perkembangan-dun-terengganu/