top of page

AKTIVITI

MAJLIS AMANAT TAHUN BARU 2019

Pada Ahad, 6 Januari 2019, Pejabat KDYMM Sultan Terengganu telah mengadakan Majlis Amanat Tahun Baru 2019  di Dewan Teater, Pejabat KDYMM Sultan Terengganu. Majlis ini telah dihadiri oleh semua pegawai dan kakitangan jabatan.

Amanat Tahun Baru 2019 telah disampaikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Pengelola Bijaya Diraja, Encik Mohd Azmi bin Mohamad Daham. Dalam ucapan beliau, beliau mengingatkan penjawat awam seharusnya menunjukkan tahap prefesionalisme yang tinggi dan semangat dalam bekerja. Amalan kerja yang cekap, cepat, teratur serta berintegriti dalam melaksanakan tanggungjawab akan meningkatkan keyakinan diri  dan prestasi kerja.

 

Beliau juga berharap, dalam melaksanakan tugas-tugas yang telah diamanahkan, sebagai penjawat awam seharusnya tidak mengetepikan elemen-elemen yang boleh membawa kepada rasa suasana keharmonian dalam sesebuah organisasi. Keharmonian ini mampu meningkatkan produktiviti dan melonjakkan pencapaian organisasi sesebuah jabatan.

MAJLIS AMANAT TAHUN BARU 2019
PERTANDINGAN 1INOVASI, 1JABATAN, 1TAHUN

PERTANDINGAN 1INOVASI, 1JABATAN, 1TAHUN PERINGKAT NEGERI TERENGGANU 

Pejabat KDYMM Sultan Terengganu telah memenangi Anugerah Yang Berhormat Pegawai Kewangan Negeri Terengganu dalam Pertandingan 1Inovasi, 1Jabatan, 1Tahun Peringkat Negeri Terengganu 2018. Kejayaan tersebut membolehkan Pejabat KDYMM Sultan Terengganu yang dipimpin oleh Penolong Pengelola, Tuan Haji Mohd Zulhilmi bin Harun membawa pulang wang tunai sebanyak RM 8,000.00 dan mendapat penarafan lima bintang.

Sebanyak tiga kategori dipertandingkan iaitu Anugerah Setiausaha Kerajaan Negeri Terbaik, Anugerah Pegawai Kewangan Negeri Terbaik dan Anugerah Khas Inovasi Terbaik. Hadiah disampaikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk A. Rahman Yahya.

 

Sebanyak 22 kumpulan daripada 21 buah agensi kerajaan menyertai pertandingan ini.

PERTANDINGAN KIK HORIZON BAHARU JABATAN

PERTANDINGAN KIK HORIZON BAHARU JABATAN

Pertandingan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Horizon Baharu peringkat Jabatan telah diadakan pada 24 Januari 2019 bertempat di Dewan Teater Pejabat KDYMM Sultan Terengganu. Sebanyak lima kumpulan telah menyertai pertandingan tersebut dan hadiah telah dibahagikan kepada dua kategori iaitu Anugerah Dato' Pengelola Bijaya Diraja dan Anugerah Tuan Penolong Pengelola.

Pertandingan ini telah dimenangi oleh Kumpulan KISKAP yang diketuai oleh En Wan Adnan bin Wan Hindun dan telah menerima Anugerah Dato' Pengelola Bijaya DiRaja. Untuk Anugerah Tuan Penolong Pengelola telah dimenangi oleh Kumpulan WePower yang dipimpin oleh En Yusri bin Abdullah. Hadiah pertandingan telah disampaikan oleh Dato' Pengelola Bijaya DiRaja, Encik Mohd Azmi bin Mohamad Daham.

PERJUMPAAN BERSAMA DATO’ PENGELOLA BIJAYA DIRAJA

PERJUMPAAN BERSAMA DATO’ PENGELOLA BIJAYA DIRAJA

Dato’ Pengelola Bijaya DiRaja, Encik Mohd Azmi bin Mohamad Daham telah mengadakan beberapa siri perjumpaan bersama pegawai-pegawai dan kakitangan setiap unit bertujuan untuk memberi nasihat dan motivasi serta mendengar segala permasalahan yang berlaku.

Penganjuran program santai dan sesi dialog itu diadakan untuk berkongsi pandangan berkaitan isu-isu di tempat kerja dan bertujuan mengeratkan hubungan antara Ketua Jabatan dan kakitangan dengan adanya komunikasi dua hala. Kedua-dua belah pihak sentiasa berkomunikasi dan masing-masing  mempunyai peranan penting ke arah menentukan hubungan terjalin dengan baik dan mencapai matlamat jabatan. Ini agar dapat memupuk budaya kerja yang lebih efektif dan memenuhi keperluan pihak yang dipertanggungjawabkan.

MAJLIS PERASMIAN MESYUARAT AGUNG KELAB KEBAJIKAN DAN SUKAN KAKITANGAN ISTANA TERENGGANU (KEKITE)

Kelab Kebajikan dan Sukan Kakitangan Istana Terengganu (KEKITE) telah mengadakan Mesyuarat Agung Kelab Kekite kali ke 13 pada 10 Mac 2019 (Ahad) di Dewan Serbaguna Pejabat KDYMM Sultan Terengganu. Majlis Perasmian Mesyuarat ini telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Pengelola Bijaya DiRaja, Encik Mohd Azmi bin Mohamad Daham merangkap Penasihat Kelab.

Turut hadir pada mesyuarat ini, Pengerusi Kelab, Tuan Haji Mohd Zulhilmi bin Harun, Timbalan Pengerusi, Tuan Haji Wan Adnan bin Wan Hindun, barisan ahli-ahli jawatankuasa kelab dan ahli-ahli kelab.

Majlis perasmian ini bermula jam 9.00 pagi dan berakhir jam 10.30 pagi dan seterusnya Mesyuarat Agung Kelab Kekite kali ke 13 bermula pada jam 11.00 pagi dan berakhir jam 1.00 tengah hari. Sebelum majlis dimulakan, ahli-ahli kelab membuat pengundian bagi pemilihan Ahli Jawatankuasa yang baharu bagi sesi 2019-2020.

MAJLIS PERASMIAN MESYUARAT AGUNG KELAB (KEKITE)

MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI PEJABAT KDYMM SULTAN TERENGGANU

Pejabat KDYMM Sultan Terengganu telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat jabatan pada hari Khamis, 13 Jun 2019.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Nur Zahirah, Sultanah Terengganu mencemar duli berangkat ke majlis tersebut. Turut berangkat mengiringi Baginda,  Yang Amat Mulia Tengku Nadhirah Zahrah dan Yang Amat Mulia Tengku Muhammad Mua'az.

Hadir pada majlis tersebut adalah dif-dif jemputan dan pegawai-pegawai dari seluruh jabatan kerajaan di negeri Terengganu.

MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI

CERAMAH SOLAT KRITIKAL

Pejabat KDYMM Sultan Terengganu telah menganjurkan ceramah agama berkenaan Solat Kritikal pada 20 Jun 2019 bertempat di Dewan Teater, Pejabat KDYMM Sultan Terengganu.

Ceramah ini telah disampaikan oleh Yang Berbahagia Ustaz Shukri bin Haji Ali dan dihadiri oleh semua kakitangan pejabat.

Tujuan diadakan ceramah ini adalah bagi memberi kesedaran kepada semua berkenaan pentingnya solat sebagai tanda hubungan hamba dengan Penciptanya.

CERAMAH SOLAT KRITIKAL
HARI RAYA AIDILADHA

HARI RAYA AIDILADHA 1440H

Pejabat KDYMM Sultan Terengganu telah mengadakan  aktiviti penyembelihan bagi ibadah korban pada 11 Ogos 2019 (Ahad) bersamaan 10 Zulhijjah 1440H bertempat di Perkarangan Istana Badariah, Kuala Terengganu. Sebanyak  2 ekor lembu dikorbankan pada hari tersebut dan pelaksaanaan ibadah korban telah dijayakan dengan teratur dari peringkat penyembelihan sehinggalah pengagihan.

KURSUS PENGUKUHAN PENGETAHUAN DAN MAKLUMAT ISTIADAT DAN PROTOKOL

Unit Istiadat Pejabat KDYMM Sultan Terengganu telah menganjurkan Kursus Pengukuhan Pengetahuan dan Maklumat Istiadat dan Protokol pada 25 hingga 27 Ogos 2019 bertempat di Resort World Kijal, Kemaman. Seramai 31 perserta daripada semua unit di Pejabat KDYMM Sultan Terengganu telah hadir pada kursus tersebut. Taklimat dan ceramah kursus ini telah disampaikan oleh Tuan Haji Shafee bin Omar.

KURSUS ISTIADAT DAN PROTOKOL

MESYUARAT AGUNG KOPERASI KAKITANGAN ISTANA TERENGGANU BERHAD (KOIST)

Pada 24 Oktober 2019 (Khamis), Koperasi Kakitangan Istana Terengganu Berhad (KOIST) telah mengadakan Mesyuarat Agung Koperasi Kakitangan Istana Terengganu Berhad kali ke 7 di Dewan Serbaguna Pejabat KDYMM Sultan Terengganu.

 

Majlis Mesyuarat Agung ini telah dirasmikan oleh Dato’ Pengelola Bijaya DiRaja, Dato' Haji Mohd Azmi bin Mohamad Daham. Turut hadir pada mesyuarat ini, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Terengganu, Encik Zainuddin bin Mohd Ali, Pengerusi KOIST, Encik Mohd Latib bin Ngah, Ahli-ahli Lembaga Koperasi, dan ahli-ahli koperasi.

Majlis dan mesyuarat ini bermula jam 9.00 pagi dan berakhir jam 12.00 tengah hari.

MESYUARAT AGUNG KOPERASI ISTANA

KURSUS PENGURUSAN JENAZAH

Pejabat KDYMM Sultan Terengganu telah menganjurkan Kursus Pengurusan Jenazah pada 31 Oktober 2019 (Khamis) bertempat di Dewan Auditorium Pejabat KDYMM Sultan Terengganu. Program ini telah dikendalikan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) yang diketuai oleh Tuan Haji Mohammad bin Deraman. Seramai lebih 90 orang kakitangan pejabat telah mengambil bahagian dalam kursus ini.

Objektif program adalah bertujuan  tentang kepentingan ilmu fardhu kifayah berkenaan pengurusan jenazah agar lebih bersedia dan memberi pengetahuan kepada para peserta berkaitan hukum-hukum dan amalan  dalam kehidupan seharian selain ia dapat mengeratkan hubungan diantara kakitangan.

KURSUS PENGURUSAN JENAZAH
bottom of page