top of page

BERITA

LAWATAN KE PUSAT PEMINDAHAN BANJIR

LAWATAN KE PUSAT PEMINDAHAN BANJIR DAERAH KEMAMAN

KEMAMAN, 5 Jan – Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin  berkenan mencemar duli melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara di daerah Kemaman . Turut bersama dalam lawatan tersebut adinda beliau, Yang Amat Mulia Tengku Muhammad Mua`az.

 

Ketibaan baginda kira-kira jam 10.30 pagi tadi disambut oleh pegawai dari pelbagai agensi, anggota pasukan penyelamat dan mangsa banjir.

 

Sebaik tiba, baginda mendengar taklimat banjir oleh Pegawai Daerah Kemaman, Tuan Haji Mohd Zahari Bin Md. Azahar dan kemudiannya menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir serta melawat sekitar pusat pemindahan. Baginda juga berangkat menunaikan Solat Jumaat di Masjid Kampung Beris Meraga, Kemaman.

MAJLIS PELANCARAN 'BOARDWALK SETIU'

MAJLIS PELANCARAN 'BOARDWALK SETIU'

SETIU, 12 Feb - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan agar kawasan Tanah Bencah Setiu menjadi satu lagi tarikan pelancong di negeri itu selaras hasrat kerajaan negeri menjadikan Terengganu sebagai destinasi ekopelancongan terunggul di rantau ini.

 

Baginda bertitah, selain keindahan pantai dan pulau, seni, budaya dan warisan, keunikan Tanah Bencah Setiu ini juga berpotensi menjadi produk pelancongan yang boleh diketengahkan di persada global.

 

"Bersempena dengan Sambutan Hari Tanah Bencah Sedunia yang disambut pada setiap 2 Feb di seluruh dunia, beta berharap negeri Terengganu khususnya tidak ketinggalan meraikannya bersama-sama dengan masyarakat dunia dalam mencari kaedah bukan sahaja melestarikan khazanah alam pemberian Ilahi ini, malah memikirkan kaedah yang efektif dan proaktif dalam memberi manfaat semaksima mungkin kepada komuniti setempat.

 

"Di sini, beta percaya, komuniti setempat boleh mengambil peluang menyediakan perkhidmatan pelancongan yang bersesuaian seperti aktiviti menyusuri sungai, lawatan ke sangkar ikan, melihat habitat tuntung dan penyu di samping aktiviti pemerhatian burung, flora dan fauna lain kepada pengunjung yang ingin mengalami suasana alam semula jadi tanah bencah.

 

"Beta percaya kawasan tanah bencah ini mempunyai kekayaan sumber alam semula jadi yang dapat menjana pendapatan ekonomi kepada komuniti setempat. Pelbagai aktiviti boleh dikomersialkan seperti penternakan lebah madu, pembuatan tikar kercut, industri kecil pembuatan makanan, penternakan tiram dan ketam, selain sebagai tapak pembenihan akuakultur," titah baginda.

 

SUMBER – BERNAMA

MAJLIS TILAWAH AL-QURAN PERINGKAT NEGERI TERENGGANU

MAJLIS TILAWAH AL-QURAN PERINGKAT NEGERI TERENGGANU 2018

KUALA BERANG, 1 Mac - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru umat Islam meletakkan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai paksi kehidupan seharian.

Baginda bertitah, kehidupan umat Islam akan lebih bermakna kerana semua aspek kehidupan yang dilalui setiap masa dan ketika adalah cerminan dari maksud dan saranan Al-Quran.

"Aspek-aspek kehidupan ekonomi, politik dan juga masyarakat telah dihurai secara menyeluruh dan disediakan secara penuh protokol oleh kitab suci Al-Quran. Melalui Al-Quran, Islam menawarkan sistem ekonomi yang bersifat dinamik apabila golongan kaya dikehendaki membantu mereka yang kurang bernasib baik melalui pensyariatan zakat.

"Siasah Islam pula telah meletakkan kebenaran dan keredhaan Ilahi sebagai matlamat paling tinggi yang perlu dipikul tanpa mengorbankan mana-mana pihak. Dari sudut budaya bermasyarakat pula, Al-Quran memaparkan pelbagai ciri dan formula menghargai sesama manusia sejagat," titah baginda pada Majlis Perasmian Penutup Tilawah Al-Quran kali ke-61 Peringkat Negeri Terengganu 1439 Hijrah/ Tahun 2018.

Turut berangkat Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Turut hadir, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Anggota Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Seri Jailani Johari, Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu 2018 merangkap Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Wan Nawawi Wan Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Dr Ghazali Taib.

Sultan Mizan turut bertitah, kehidupan akan lebih indah jika perkara-perkara dalam Al-Quran dapat sama-sama diberi keutamaan seterusnya diamalkan.

"Seandainya hakikat ini menjadi kenyataan, Beta percaya tidak akan timbul sebarang perasaan di kalangan seluruh umat Islam dan kita dapat hidup dalam keadaan lebih bermakna kerana semua pihak menjana akhlak mulia berpandukan Al-Quran.

"Marilah kita sama-sama memantapkan niat dengan meletakkan Al-Quran dan Sunnah sebagai paksi kehidupan seharian. Semoga dengan kekuatan kita berada dalam saf yang sama akan menjadi asbab kepada curahan rahmat dan barakah Allah yang berterusan di muka bumi ini," titah baginda.

Johan Qari Majlis Tilawah peringkat Negeri Terengganu disandang oleh Mohd Zaky Ismail, 34 tahun dari daerah Kemaman sementara johan qariah dimenangi oleh Nor Hidayah Abd Rahman, 27 dari daerah Setiu.

Johan qari dan qariah masing-masing membawa pulang wang tunai RM8,000, piala iringan dan pusingan serta sijil penghargaan.

SUMBER - BERNAMA

MAJLIS PENGHADAPAN HARI RAYA AIDILFITRI 1439H

MAJLIS PENGHADAPAN HARI RAYA AIDILFITRI 1439H

KUALA TERENGGANU, 15 Jun - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah dan Sultanah Nur Zahirah, Sultanah Terengganu  mencemar duli berangkat ke  Majlis Penghadapan Hari Raya Aidilfitri 1439H di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu pada 15 Jun 2018 bersamaan 1 Syawal 1439H.

 

Turut berangkat ke majlis tersebut, Yang Amat Mulia Tengku Nadhirah Zahrah dan Yang Amat Mulia

Tengku Muhammad Mua'az.

 

Baginda sekeluarga sebelum itu berangkat ke Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu bagi menunaikan Solat Sunat Hari Raya Aidilfitri dan seterusnya ke Maqam DiRaja.

SULTAN MIZAN RASMI TAMAN HERBA PASIR RAJA

SULTAN MIZAN RASMI TAMAN HERBA PASIR RAJA

DUNGUN, 22 Julai - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli merasmikan pembukaan Taman Herba Pasir Raja, di sini, hari ini.

 

Taman herba yang terletak di mukim Pasir Raja itu adalah sebuah projek Pembangunan Kluster Bersepadu Herba (HICD) yang diyakini mampu melonjakkan ekonomi di negeri ini.

Ia membabitkan usahasama awam-swasta dimajukan Majlis Pembangunan Wilayah Timur (ECERDC) bersama syarikat pengeluar produk suplimen kesihatan, Bioalpha.

 

Keberangkatan Sultan Mizan diiringi anakanda Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Muhammad Mua'az serta Menteri Besar, Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar dan Pengerusi Baioalpha Holdings Berhad, Tan Sri Abdul Rahman  Mamat.

 

Menerusi projek itu, Bioalpha diberi tugas besar membangunkan tanah seluas 406 hektar di Pasir Raja sebagai sebuah taman herba tradisional tempatan.

 

Projek tersebut juga berpotensi menjadikan Terengganu sebagai hab makanan suplimen antarabangsa.

 

Keberangkatan tiba DYMM Sultan Mizan Zainal Abidin ke majlis tersebut

Dr. Ahmad Shamsuri berkata, projek taman herba Pasir Raja  di bawah pelan induk ECER selaras dengan harapan kerajaan untuk merealisasikan potensi permintaan herba tropikal yang tinggi dalam industri farmaseutikal, nutraseutikak dan kosmeseutikal.

 

Menurutnya, ia menawarkan manfaat besar kepada rakyat disamping mempercepat pertumbuhan ekonomi tempatan.

 

"Di bawah model ini, kerajaan menyediakan pelaburan dan pembangunan prasarana, manakala swasta mengusahakan bahagian komersial.

 

"Berdasarkan kejayaan taman herba ini, ia konsep yang baik dan boleh diterokai secara lebih mendalam serta teliti bagi membangunkan projek-projek pertanian lain.

 

" Bagi memastikan sektor pertanian membawa impak besar kepada pertumbuhan negeri, ECERDC telah memantau perkembangan projek dab impak kepada rakyat menerusi KPI,"katanya ketika berucap pada majlis itu.

 

Beliau berkata, pembukaan HICD membawa pelbagai peluang pekerjaan kepada komuniti terutama penduduk Pasir Raja.

 

" Lebih 50 penduduk sekitar diambil untuk bekerja sebagai keranu umum, penjaga tapak semaian, penanam herba dan banyak lagi,"katanya.

 

Buat masa kini, lebih 20 jenis tanaman herba tradisional Malaysia ditanam termasuk Tongkat Ali, Kacip Fatimah, Misai Kucing, Hempedu Bumi, Dukung Anak, Pecah Beling, Mas Cotek dan pelbagai jenis tanaman bernilai tinggi seperti lada hitam serta kelapa.

 

Sumber : Sinar Harian

SULTAN MIZAN RASMI BANGUNAN BAHARU KTS HOSPITAL

SULTAN MIZAN RASMI BANGUNAN BAHARU KUALA TERENGGANU SPECIALIST HOSPITAL

KUALA TERENGGANU, 2 Ogos - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini berkenaan berangkat merasmikan Kuala Terengganu Specialist (KTS) Hospital yang beroperasi di bangunan baharu di Jalan Sultan Mahmud, Batu Buruk di sini hari ini.

Baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, anakanda-anakanda baginda berdua, Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail, Tengku Nadhirah Zahrah, Tengku Muhammad Mua'az dan Tengku Fatimatuz Zahra'.

Turut hadir Menteri Besar Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk A Rahman Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif TDM, Datuk Mohamat Muda serta barisan kepimpinan negeri.

KTS adalah satu daripada empat buah hospital pakar kepunyaan Kumpulan Medic Iman (KMI) iaitu anak syarikat TDM Berhad (TDM), sebuah syarikat milik kerajaan Terengganu.

Hospital lapan tingkat yang mula beroperasi 28 Jan itu mempunyai 130 buah katil, lima dewan bedah, satu unit rawatan rapi.

Perkhidmatan yang ditawarkan KTS meliputi disiplin utama perubatan seperti perubatan umum, Obstetrik dan Ginekologi, Ortopedik, Pediatrik, Dermatologi, Makmal, Farmasi, dan Pengimejan Diagnostik seperti X ray dan Mammogram.

Terdahulu, Sultan Mizan dalam titah perasmiannya berharap kewujudan KTS bukan sekadar menawarkan pilihan kepada rakyat negeri itu bagi mendapatkan rawatan dan penjagaan kesihatan tetapi menjadikan Terengganu sebagai hub pelancongan kesihatan khususnya bagi rakyat di negara ini.

"Dengan reka bentuk bangunan yang mengikut standard piawaian antarabangsa, KTS berupaya menjadikan Terengganu sebagai hub pelancongan kesihatan di Malaysia.

"Beta dimaklumkan bahawa TDM Berhad melalui Kumpulan Medic Iman menawarkan penjagaan kesihatan pada kos yang berpatutan, ini memberi peluang kepada lebih ramai rakyat untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta di bawah TDM (termasuk KTS)," titah baginda.

Selain KTS di Kuala Terengganu, TDM Berhad mempunyai tiga lagi hospital iaitu Kuantan Medical Centre, (Pahang), Kelana Jaya Medical Centre (Selangor) dan Taman Desa Medical Centre (Lembah Klang).

Sumber : BERNAMA

bottom of page