top of page

BERITA

SULTAN MIZAN BERKENAN RASMI WISMA AUDIT TERENGGANU

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin (duduk tengah) dan Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah (duduk lapan, kanan) berkenan bergambar bersama kakitangan Jabatan Audit Negara pada Majlis Perasmian Wisma Audit Negeri Terengganu, Jabatan Audit Negara Negeri Terengganu hari ini. FOTO BERNAMA

Kuala Terengganu: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan Wisma Audit Terengganu, di sini, hari ini.

Turut berangkat adalah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Raja Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail.

Yang turut hadir adalah Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

Dr Ahmad Samsuri berkata, projek pembangunan bandar baharu Bukit Besar adalah sebahagian daripada pelan pembangunan bandar baharu yang membabitkan komponen institusi Kerajaan Persekutuan dan negeri.

Katanya, kerajaan negeri menyediakan tapak seluas kira-kira 556 hektar bagi membolehkan pelbagai projek pembangunan termasuk perumahan, komersil dan kemudahan awam dilaksanakan.

"Setakat ini tiga projek pembangunan sudah siap dilaksanakan iaitu bangunan Jabatan Kimia Malaysia negeri, Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri dan Jabatan Audit (JAN).

"Bangunan Wisma Audit bernilai kira-kira RM20.24 juta adalah satu perkembangan penting dalam memperkasakan peranan audit dalam tatakelola dan pengurusan kewangan kerajaan dan agensinya.

"JAN memainkan peranan penting dalam pentadbiran sektor awam untuk memastikan akauntabiliti dan pengurusan kewangan kerajaan teratur, selaras dengan undang-undang dan peraturan yang sedia ada," katanya.

Sumber : Harian Metro Online

Wisma Audit.webp

SULTAN MIZAN RASMI HOSPITAL SULTAN ZAINAL ABIDIN

Sultan Mizan (tiga dari kanan) meninjau kemudahan yang terdapat di HoSZA yang terletak di UniSZA, Kuala Nerus hari ini.

KUALA NERUS – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) yang dikendalikan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di sini hari ini.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, setakat ini, HoSZA telah membuka perkhidmatan klinik perubatan A, klinik pakar dan jabatan kecemasan.

Beliau berkata, hospital tersebut juga menawarkan perkhidmatan pengimejan dengan teknologi terkini menggunakan Magnetic Resonance Imaging (MRI) 3 Tesla dan Computed Tomography (CT) 256 keping yang dapat memastikan diagnosis tepat dan rawatan efisien kepada pesakit.

“Kerajaan negeri Terengganu yakin HoSZA mampu mencapai standard kecemerlangan sebagai hospital rujukan pakar setanding dengan hospital-hospital pengajar yang telah berdiri kukuh di negara ini.

“Penubuhan HoSZA adalah satu pencapaian yang sangat penting dalam perkembangan UniSZA dengan meluaskan peranan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan,” katanya pada majlis perasmian HoSZA di sini hari ini.

Terdahulu Sultan Mizan berkenan merasmikan hospital pengajar yang mempunyai kemudahan 200 katil berkenaan.

Sumber : KOSMO! ONLINE

Hospital Unisza.jpg

SULTAN TERENGGANU KURNIA DARJAH KEBESARAN KEPADA 104 INDIVIDU

Sultan Mizan mengurniakan Darjah Kebesaran Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu Yang Amat Terpilih yang membawa gelaran Datuk Seri kepada Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman hari ini. - Foto Bernama

KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mengurniakan Bintang-bintang Darjah Kebesaran Negeri Terengganu Darul Iman kepada 104 individu di Istana Syarqiyyah, di sini hari ini.

Pengurniaan itu bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-62 Hari Keputeraan Sultan Terengganu.
Turut berangkat Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah dan Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail.

Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman dan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mendahului senarai penerima dengan dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (SSMZ) Yang Amat Terpilih yang membawa gelaran Datuk Seri.

Ia diikuti pengurniaan Darjah Kebesaran Datuk Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (DSMZ) Yang Amat Terpilih kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Nik Nasarudin Mohd Zawawi yang membawa gelaran Datuk.

Turut dianugerahkan DSMZ ialah Timbalan Panglima Tentera Darat Lt Jen Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim.

Selain itu, baginda turut berkenan mengurniakan kepada 25 individu Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Terengganu (DPMT) Yang Amat Dihormati.

Antara penerima DPMT ialah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam Wan Sukairi Wan Abdullah dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu Rosli Latif.

Sultan Mizan turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (SMZ) Yang Amat Terpilih kepada 21 penerima, Setia Mahkota Terengganu (SMT) Yang Amat Dihormati (14 penerima), Ahli Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (AMZ) Yang Amat Terpilih (13 penerima) dan Ahli Mahkota Terengganu (AMT) Yang Amat Dihormati (27 penerima).


Sumber : BERNAMA

bottom of page