top of page

BERITA

KSN DAHULUI SENARAI PENERIMA DARJAH KEBESARAN TERENGGANU

Sultan Mizan (kanan) berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (SSMZ) Yang Amat Terpilih kepada Shamsul Azri. Foto BERNAMA

KUALA TERENGGANU - Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar pada Ahad mendahului senarai 130 penerima Bintang Darjah Kebesaran Negeri Terengganu, sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-63 Hari Keputeraan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Pada istiadat yang berlangsung di Istana Syarqiyyah di sini, Shamsul Azri dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (SSMZ) Yang Amat Terpilih yang membawa gelaran Datuk Seri.

Turut menerima darjah kebesaran sama Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Pengerusi Eksekutif Melati Ehsan Holdings Berhad, Tan Sri Yap Suan Chee.

Bagi pengurniaan Darjah Kebesaran Datuk Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (DSMZ) Yang Amat Terpilih yang membawa gelaran Datuk pula antara penerimanya ialah Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhammad dan konsultan perhotelan serta pelancongan sukan, Abdul Rahman Zabidin.

Turut dianugerahkan DSMZ ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Tuanku Nur Zahirah, Toh Puan Seri Nur Rahmah Mohd Zin; Penaung Persatuan Amal dan Kebajikan Bencana Malaysia, Datuk Wira Shaikh Abdul Halim Shaikh Salah Marie Alkathiri dan Pengerusi Eksekutif Medan Mutiara Sdn Bhd, Datuk Mazli Mohan Alias.

Selain itu, Sultan Mizan turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Terengganu (DPMT) Yang Amat Dihormati yang juga membawa gelaran Datuk kepada 23 individu termasuk Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim; Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman dan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti, dan Pembangunan Luar negeri, Hanafiah Mat.

Antara penerima darjah kebesaran DPMT yang lain Ketua Hakim Syarie Terengganu, Rosdi Harun; bekas Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Jelani Sulong; Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Incorporated Sdn Bhd, Burhanuddin Hilmi Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu, Prof Madya Dr Ahmad Azrin Adnan.

Sultan Mizan turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu Yang Amat Terpilih kepada 23 penerima, Setia Mahkota Terengganu Yang Amat Dihormati (13 penerima), Ahli Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu Yang Amat Terpilih (21 penerima) dan Ahli Mahkota Terengganu Yang Amat Dihormati (42 penerima). - Bernama

KSN.jpg

SULTAN TERENGGANU TITAH KUKUHKAN HUBUNGAN ERAT KERAJAAN NEGERI-PERSEKUTUAN

Sultan Mizan turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan yang memperuntukkan RM13.56 bilion menerusi kelulusan 408 projek pembangunan di Terengganu sepanjang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12). Foto BERNAMA

KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah Kerajaan Negeri perlu memperkukuh hubungan serta mempererat jalinan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pelaksanaan dasar dan inisiatif pembangunan yang berkesan.

Baginda bertitah ia juga bagi menjamin kesejahteraan masyarakat serta memacu pertumbuhan ekonomi.

Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan yang memperuntukkan RM13.56 bilion menerusi kelulusan 408 projek pembangunan di Terengganu sepanjang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Pelaksanaan projek itu memberikan pelbagai manfaat kepada rakyat Terengganu, termasuk mempertingkatkan kemudahan infrastruktur serta memperkukuh daya saing komuniti secara menyeluruh.

"Justeru, Beta menyarankan agar Kerajaan Negeri terus memperhebat usaha serta merangka perancangan yang lebih strategik bagi memastikan setiap projek di bawah RMK13 dapat dilaksanakan dengan jayanya.

"Bagi merealisasikan hasrat ini, Kerajaan Negeri perlu memperkukuh hubungan serta mempererat jalinan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pelaksaan dasar dan inisiatif pembangunan yang berkesan," titah baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Ke-15, di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Turut berkenan berangkat ke istiadat tersebut ialah Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan dan Tengku Muhammad Muaz Sultan Mizan Zainal Abidin.

Sementara itu Sultan Mizan juga bertitah Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 telah membuka ruang luas untuk Terengganu mempromosi keindahan serta keunikan sektor pelancongan kepada pelancong dan delegasi antarabangsa.

Baginda juga yakin penganjuran Cycling Tour (ASEAN Solidarity) 2025 di bawah kluster ASEAN Social Cultural Community pada Ogos mampu mengangkat Terengganu sebagai destinasi pelancongan utama Malaysia serta memperkukuh kerjasama serantau.

Baginda bertitah Terengganu juga telah merekodkan pencapaian cemerlang pada 2024 apabila mencatatkan kehadiran 7.8 juta pelancong, mengatasi sasaran asal 4.5 juta.

Sultan Mizan turut menyarankan Terengganu memberi tumpuan terhadap pengukuhan pertanian dan industri asas tani melalui pelancaran Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2024-2030, dengan projek pertanian berskala komersial dengan pelbagai tanaman komoditi perlu dipergiatkan.

Baginda turut mencadangkan kerajaan negeri terus proaktif mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan di peringkat global dalam usaha memperluas industri teknologi hijau, sekali gus mengukuhkan pemilikan kapasiti solar beroperasi melebihi 333 Megawatt peak (MWp), dengan pelaburan yang diterima mencecah RM1 bilion melibatkan 14 syarikat pelabur, setakat Disember 2024.

Sementara itu Sultan Mizan menyeru kerajan negeri Terengganu menggandakan usaha menarik lebih ramai pelabur untuk meneroka potensi besar negeri itu, mengambil kira kapasiti pengendalian kargo di Dermaga Timur, Pelabuhan Kemaman yang sedang dipertingkat melalui pemasangan kren secara berperingkat.

"Beta berharap dengan pembinaan dermaga yang lebih luas, kelengkapan yang dipertingkat, serta sambungan rel yang lebih strategik, Pelabuhan Kemaman akan dapat menampung pertumbuhan kargo pada masa hadapan, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan daya saing industri maritim negara," titah baginda.

-- BERNAMA

SUK Dewan.jpg

HUBUNGI KAMI / CONTACT US

PEJABAT KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SULTAN TERENGGANU

OFFICE OF HIS ROYAL HIGHNESS THE SULTAN OF TERENGGANU

Istana Syarqiyyah

20500 Kuala Terengganu

Terengganu Darul Iman

Telefon/Phone : +609-621 6000

Faks/Fax            : +609-621 6116

Hakcipta Terpelihara © 2024 Pejabat KDYMM Sultan Terengganu. Paparan terbaik dalam Google Chrome, Mozilla Firefox. Resolusi 1024 x 768

Copyright © 2024 Office of HRH The Sultan of Terengganu. Best viewed using Google Chrome, Mozilla Firefox. Resolution 1024 x 768

Terma Penggunaan | Dasar Keselamatan | Penafian dan Dasar Privasi |

Jumlah Pengunjung/Hit Counter

Tarikh Kemaskini / Last Update : 1 Mei 2025

bottom of page