
PEJABAT KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA
SULTAN TERENGGANU
OFFICE OF HIS ROYAL HIGHNESS THE SULTAN OF TERENGGANU
|
BERITA
KETUA HAKIM NEGARA DAHULUI SENARAI PENERIMA BINTANG DARJAH KEBESARAN TERENGGANU, EMAN MANAN BERGELAR DATO’
TENGKU Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (S.S.M.Z.) yang membawa gelaran Dato' Seri kepada Ketua Hakim Negara, Tun Wan Ahmad Farid Wan Salleh pada Istiadat Penghadapan dan Pengurniaan Bintang-Bintang Darjah Kebesaran Negeri Terengganu di Istana Syarqiyyah, Chendering, hari ini. FOTO Bernama
Kuala Terengganu: Ketua Hakim Negara Tun Wan Ahmad Farid Wan Salleh mendahului senarai 128 penerima Bintang-Bintang Darjah Kebesaran Negeri Terengganu bagi 2026 bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun ke-64 Hari Keputeraan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.
Pemangku Raja Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat dan menyempurnakan istiadat yang berlangsung di Balairong Seri, Istana Syarqiyyah, di sini, hari ini.
Adinda baginda Tengku Seri Setia Mahkota Raja Tengku Dato’ Seri Muhammad Muaz, Tengku Puteri Utama Raja Tengku Nadhirah Zahrah dan Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Fatimatuz Zahra' turut berangkat ke istiadat berkenaan.
Hadir sama Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan barisan kepimpinan kerajaan negeri.
Wan Ahmad Farid menerima Darjah Kebesaran Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (S.S.M.Z) yang membawa gelaran Dato’ Seri.
Yang turut menerima S.S.M.Z adalah Duta Besar Qatar ke Malaysia Dato’ Seri Salah Mohammed Al-Sorour, Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris dan Timbalan Presiden Persatuan Ekuin Terengganu Tan Sri Abdullah Taib.
Tengku Muhammad Ismail turut mengurniakan Darjah Kebesaran Dato’ Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (D.S.M.Z) yang membawa gelaran Dato’ kepada Hakim Mahkamah Persekutuan Dato’ Che Mohd Ruzima Ghazali serta Penasihat Lembaga Pengarah dan bekas Pegawai Eksekutif Celcomdigi Berhad Dato’ Mohamad Idham Nawawi.
Turut menerima D.S.M.Z adalah Pengerusi Eksekutif Mirmas Holding Sdn Bhd Dato’ Awalan Abdul Aziz dan Pengurus Bersama Messrs Feroz@Co Dato’ Feroz A S Moidunny.
Selain itu, baginda berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Dato' Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T) yang turut membawa gelaran Dato’ kepada 27 penerima termasuk pelakon terkenal Dato’ Abdul Manan Embong atau Eman Manan dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu Dato’ Razali Idris.
Ahli Parlimen Dungun Dato’ Wan Hassan Mohd Ramli, bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu Prof Dato’ Dr Mohd Zamri Ibrahim dan Ketua Polis Terengganu Dato’ Mohd Khairi Khairudin turut dikurniakan bintang darjah kebesaran yang sama.
Tengku Muhammad Ismail juga berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (S.M.Z) kepada 17 penerima termasuk Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Pada istiadat berkenaan, baginda mengurniakan Darjah Kebesaran Setia Mahkota Terengganu kepada 17 penerima, Darjah Kebesaran Ahli Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (20 penerima) dan Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Terengganu (39 penerima).
SUMBER : Harian Metro - https://www.hmetro.com.my
