top of page

BERITA

MAJLIS TILAWAH AL-QURAN PERINGKAT NEGERI TERENGGANU

MAJLIS TILAWAH AL-QURAN PERINGKAT NEGERI TERENGGANU 2019

KEMAMAN, 31 Jan - Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru umat Islam menjadikan Al-Quran sebagai ‘sahabat’ dan tidak mengabaikannya.

Baginda bertitah amat rugi mereka yang mengabaikan al-Quran dengan tidak membaca, memahami dan beramal dengan kitab suci itu.

“Kelebihan al-Quran mengatasi kalam makhluk. Setiap huruf dibaca akan diberi kebaikan dan digandakan kepada sepuluh.

“Lebih daripada itu, anugerah Allah merentasi ke alam akhirat kerana ahli al-Quran diangkat darjat di akhir setiap ayat yang dibaca," titah baginda pada Majlis Perasmian Penutup Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu 1440 Hijrah/Tahun 2019 di sini, malam ini.

Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah turut berangkat ke majlis itu. Turut hadir ialah Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Sultan Mizan turut bertitah, semenjak majlis itu dilangsungkan dalam tempoh 62 tahun lalu, hasil daripada penganjuran itu menjadi penggerak kepada usaha-usaha pembelajaran al-Quran secara lebih luas oleh pelbagai pihak sebagaimana yang dituntut oleh ajaran Islam.

“Beta percaya bahawa kedatangan rakyat ke majlis ini bukan sekadar untuk mendengar alunan bacaan ayat-ayat suci yang diperdengarkan qari dan qariah tetapi juga untuk memahami dan mengamal serta menghayati pengajaran daripada ayat-ayat itu.

“Pada kesempatan ini, Beta juga berharap supaya diusahakan mengenai periwayatan kisah tokoh-tokoh tarannum dan penglibatan qari dan qariah Terengganu dalam majlis tilawah Al-Quran sejak dahulu sehingga kejayaan mereka terpahat dalam catatan sejarah buat tatapan generasi kini dan akan datang,” titah baginda

Johan qari Majlis Tilawah peringkat Terengganu disandang Abdul Hadi Che Abd Halim dari Kuala Terengganu, manakala johan qariah dimenangi Nor Hidayah Abd Rahman dari daerah Setiu.

Johan qari dan qariah masing-masing membawa pulang wang tunai RM8,000, piala iringan dan pusingan serta sijil penghargaan.

Sumber : BERNAMA

SULTAN MIZAN RASMI PEMBUKAAN SIDANG DUN

KUALA TERENGGANU, 1 April - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pagi ini berangkat menyempurnakan Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-14 di Wisma Darul Iman di sini.

 

Keberangkatan baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

 

Baginda tiba di pekarangan DUN di wisma berkenaan kira-kira pukul 10 pagi yang kemudiannya disambut Yang Dipertua DUN, Yahaya Ali serta Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk A. Rahman Yahya dan Ketua Polis negeri, Datuk Aidi Ismail.

 

Sumber : Utusan Online

SULTAN MIZAN RASMI PEMBUKAAN SIDANG DUN
TERENGGANU CIPTA NAMA DALAM MALAYSIA BOOK OF RECORDS

TERENGGANU CIPTA NAMA DALAM MALAYSIA BOOK OF RECORDS

KUALA NERUS, 20 April - Program Terengganu Go Clean 2019 diadakan serentak di 30 lokasi di seluruh negeri mencatatkan sejarah dengan penyertaan melibatkan seramai 16,390 peserta.

 

Jumlah penyertaan itu berjaya direkodkan di dalam Malaysia Book Of Record (MBOR) sebagai program gotong-royong dengan jumlah penyertaan teramai.

 

Program dilaksanakan bagi memastikan keindahan tempat-tempat pelancongan serta tumpuan awam bersih dan bebas sampah dengan mendapat kerjasama pelbagai agensi dan jabatan.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kolaborasi antara pelbagai jabatan, agensi dan NGO serta masyarakat itu mampu untuk mewujudkan persekitaran yang bersih dan ceria.

 

"Dan juga perkara yang paling penting ialah bagaimana menimbulkan kesedaran untuk melakukan proses seterusnya bagi memastikan ia berkembang setiap masa dan bukan masa kempen sahaja.

 

"Amalan menjaga kebersihan merupakan amalan penting dan kemajuan negara serta masyarakat juga berkait rapat dengan kebersihan dan ia wajar dibudayakan sebagai cara hidup," katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perasmian Go Clean Peringkat Negeri Terengganu di Pantai Teluk Ketapang, di sini, hari ini.

 

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan putera baginda, Tengku Muhammad Mua'az turut berkenan mencemar duli berangkat menyertai program di Pantai Teluk Ketapang itu.

 

Hadir sama, Yang Dipertua DUN, Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk A Rahman Yahya dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Dr Alias Razak serta Ketua Pengakap Negara, Datuk Seri Paduka Dr Shafie Mohd Salleh.

 

Menurut Dr Samsuri, satu perbincangan diperingkat daerah-daerah juga akan dilaksanakan bagi memastikan kesemua daerah terlibat dapat mengekalkan kebersihan pada tahap yang terbaik.

 

Sijil MBOR dengan jumlah penyertaan teramai 2019 disampaikan Pegawai Penganalisisnya, Nurul Fatihah Mahmood kepada Datuk A Rahman Yahya dengan disaksikan Dr Samsuri.

 

Sumber : Sinar Harian

MAJLIS PENGHADAPAN HARI RAYA AIDILFITRI 1440HH

MAJLIS PENGHADAPAN HARI RAYA AIDILFITRI 1440H

KUALA TERENGGANU, 5 Jun - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah dan Sultanah Nur Zahirah, Sultanah Terengganu  mencemar duli berangkat ke  Majlis Penghadapan Hari Raya Aidilfitri 1440H di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu pada 5 Jun 2019 bersamaan 1 Syawal 1440H.

 

Turut berangkat ke majlis tersebut, Yang Amat Mulia Tengku Nadhirah Zahrah dan Yang Amat Mulia

Tengku Muhammad Mua'az.

 

Baginda sekeluarga sebelum itu berangkat ke Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu bagi menunaikan Solat Sunat Hari Raya Aidilfitri.

PUTERI SULUNG, PUTERA SULTAN TERIMA GELARAN

PUTERI SULUNG, PUTERA SULTAN TERIMA GELARAN

KUALA TERENGGANU 23 Julai - Tengku Nadhirah Zahrah yang merupakan puteri sulung Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mengetuai senarai penerima gelaran sempena Istiadat Pengurniaan Gelaran dan Bintang Darjah Kebesaran Negeri Terengganu 2019 di Istana Syarqiyyah, Chendering di sini semalam.

 

Tengku Nadhirah Zahrah dianugerahkan gelaran Tengku Puteri Utama Raja diikuti Putera kedua baginda, Tengku Mua’az yang dianugerahkan gelaran Tengku Seri Setia Mahkota Raja manakala Puteri bongsu baginda sultan, Tengku Fatimatuz Zahra’ dianugerahkan Tengku Puteri Daulath Raja.

Dalam pada itu, Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menerima Darjah Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (S.S.M.Z.) yang membawa gelaran Datuk Seri.

 

Setiausaha Kerajaan Terengganu, Datuk A. Rahman Yahya dianugerahkan gelaran Dato’ Bentara Dalam manakala Timbalan Setiausaha Kerajaan Terengganu (Pengurusan), Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dianugerahkan gelaran Tengku Seri Bijaya Raja.

 

Bagi Darjah Dato’ Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T.) yang membawa gelaran Datuk, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Yahaya Ali mengetuai senarai diikuti Pegawai Kewangan Negeri, Mohd. Zahari Md. Azahar serta Pengarah Tanah dan Galian (PTG) negeri, Zainal Abidin Hussin.

 

Darjah Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (S.M.Z.) turut dianugerahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat; Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Mat Azmi Arshad; Pengarah Yayasan Islam Terengganu, Ahmad Azmi Md. Salleh; Pegawai Daerah Kemaman,

 

Osman A Bakar serta Pegawai Daerah dan Pentadbir Tanah Besut, Rozali Salleh.

 

Darjah Setia Mahkota Terengganu (S.M.T.) pula dianugerahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd. Nor Hamzah dan Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.

 

Tujuh penerima Darjah Ahli Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (A.M.Z.) yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim manakala 12 orang menerima Darjah Ahli Mahkota Terengganu (A.M.T.).

SUMBER - UTUSAN ONLINE

MASJID PERLU BEBAS POLITIK: SULTAN MIZAN

KUALA TERENGGANU - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan supaya ahli jawatankuasa dan pegawai masjid memainkan peranan secara lebih efektif bagi memastikan fungsi masjid berjalan dengan baik dan bebas daripada fahaman politik kepartian.

Baginda bertitah, sebarang aktiviti yang diadakan di situ perlu mematuhi segala peraturan yang berkuat kuasa dan melaksanakan setiap arahan yang dikeluarkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

Titah baginda, pihak bertanggungjawab perlu melaksanakan amanah yang diberikan bagi memastikan setiap aktiviti yang diadakan di rumah ibadat itu dapat memberi manfaat kepada ahli kariah dan masyarakat setempat.

"Beta menyeru supaya setiap aktiviti yang dirancang seperti ceramah, muzakarah, forum keagamaan dan sebagainya perlulah memberi manfaat kepada ahli kariah selain mengukuhkan perpaduan dalam kalangan mereka.

"Masjid juga perlu menjadi rujukan golongan memerlukan dalam kalangan ahli kariah sebelum mereka mendapatkan bantuan, terutama dalam kalangan asnaf.

"Di samping itu, urusan kewangan masjid juga perlu selari dengan hasrat penyumbang dan bukannya menyimpan tanpa dibelanjakan," titahnya ketika berucap sempena Majlis Perasmian Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Terengganu tahun 1441H di Stadium Negeri di sini semalam.

Titahnya, tema sambutan Maulidur Rasul 'Negara Rahmah Ummah Sejahtera' kali ini bertepatan dengan tuntutan yang perlu direalisasikan dalam kehidupan seharian.

Dalam pada itu, Sultan Mizan turut berharap supaya kegemilangan institusi masjid seperti pada zaman Rasulullah SAW dapat dikembalikan di samping berusaha menjadikan ia sebagai pusat ilmu dan pemangkin kepada sosio ekonomi ummah.

"Masjid Nabawi misalnya bukan sahaja menjadi pusat ibadah dan pentadbiran malah dijadikan tempat menyatukan ummah serta mengukuhkan persaudaraan dalam kalangan masyarakat Islam di Madinah.

"Peranan institusi masjid pada waktu itu wajar dicontohi oleh institusi masjid sekarang," titah baginda.

SUMBER – SINAR HARIAN

MASJID PERLU BEBAS POLITIK: SULTAN MIZAN
bottom of page